Isnin, 11 Julai 2022 | 12:16pm
Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa. - Foto EPA
Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa. - Foto EPA

Gotabaya sahkan akan letak jawatan Presiden Sri Lanka

COLOMBO: Pejabat Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe, hari ini memaklumkan Presiden Gotabaya Rajapaksa sudah memaklumkan beliau akan meletak jawatan Rabu ini, seperti mana yang diumumkan.

Sebelum ini, Speaker Parlimen, Mahinda Abeywardana, memaklumkan Rajapaksa akan meletak jawatan, selepas ribuan penunjuk perasaan menyerbu memasuki kediaman rasminya kelmarin.

Ini adalah kenyataan pertama Rajapaksa, yang terpaksa lari dari kediaman rasminya untuk mengelakkan diri daripada penunjuk perasaan.

Peristiwa yang berlaku kelmarin itu adalah kemuncak protes antikerajaan selama beberapa bulan, didorong krisis ekonomi dan tahap rasuah yang belum pernah disaksikan sehingga menyebabkan Sri Lanka muflis, angkara pentadbiran keluarga Rajapaksa.

Rajapaksa terpaksa dibantu keluar dari kediamannya oleh pihak tentera yang melepaskan tembakan ke udara untuk mengawal orang ramai.

Beliau kemudian menaiki kapal tentera laut di pelabuhan Colombo dan dibawa ke perairan selatan pulau itu, di mana beliau membuat kenyataan akan meletak jawatan.

"Demi memastikan peralihan yang aman, Presiden menyatakan bahawa beliau akan meletak jawatan pada 13 Julai," kata Abeywardana dalam satu kenyataan di televisyen.

Wickremesinghe, juga berkata beliau bersedia meletak jawatan bagi membuka jalan kepada pemerintah perpaduan, namun masih gagal menenangkan penunjuk perasaan yang mahukan penubuhan kerajaan baharu disegerakan. - AFP.

Berita Harian X