Ahad, 10 Julai 2022 | 5:13pm
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden. - Foto AFP
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden. - Foto AFP

Biden pertahan keputusannya ke Arab Saudi

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, mempertahankan keputusannya melawat Arab Saudi, dengan hak asasi manusia sebagai agendanya serta mahu mengukuhkan semula hubungan dengan Putera Mahkota, yang pernah digelarnya sebagai 'pariah' sebelum ini.

Biden akan mengadakan perbincangan dua hala dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dan pasukan pimpinannya, termasuk Putera Mahkota Mohammed Salman dalam lawatannya ke Asia Barat minggu depan.

Menurut komuniti perisikan AS, Putera Mahkota Mohammed yang juga pemerintah de facto Arab Saudi, dipercayai menjadi individu di sebalik pembunuhan wartawan Washington Post dan penentang politik, Jamal Khashoggi pada 2018.

Dalam kenyataan yang diterbitkan Washington Post semalam, Biden berkata, matlamat beliau adalah untuk mengorientasikan semula dan tidak memecah-belahkan hubungan dengan negara yang sudah menjadi rakan strategik AS selama 80 tahun.

"Saya tahu ramai yang tidak bersetuju dengan keputusan saya melawat Arab Saudi. Pandangan saya mengenai hak asasi manusia adalah jelas dan sudah lama wujud, dan kebebasan asasi sentiasa dalam agenda apabila saya ke luar negara," tulis Biden.

Biden memerlukan bantuan Arab Saudi yang kaya dengan minyak, ketika harga petrol melambung tinggi dan menggalakkan usaha untuk menamatkan perang di Yaman selepas Arab Saudi baru-baru ini melanjutkan gencatan senjata di negara itu.

AS juga mahu mengekang pengaruh Iran di Asia Barat dan pengaruh global China.

Biden turut menjelaskan, Arab Saudi baru-baru ini membantu memulihkan perpaduan dalam kalangan enam negara Majlis Kerjasama Teluk, menyokong penuh gencatan senjata di Yaman dan sedang berusaha untuk menstabilkan pasaran minyak dengan pengeluar Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang lain.

Biden akan menjadi presiden pertama yang terbang dari Israel ke Jeddah, minggu depan, yang disifatkannya akan menjadi simbol kecil 'tunas hubungan dan langkah ke arah normalisasi' antara Israel dan dunia Arab.

"Saya akan menjadi Presiden AS pertama yang melawat Asia Barat sejak 9/11 tanpa tentera AS terbabit dalam misi pertempuran di sana. Ia menjadi matlamat saya untuk meneruskannya seperti itu," katanya.

Dalam lawatannya dari 13 hingga 16 Julai ini, Biden akan ke Israel bagi destinasi pertamanya. - REUTERS

Berita Harian X