Sabtu, 9 Julai 2022 | 6:00pm
Penunjuk perasaan berada dalam perkarangan rumah Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa bagi menuntut peletakan jawatannya. - Foto Reuters
Penunjuk perasaan berada dalam perkarangan rumah Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa bagi menuntut peletakan jawatannya. - Foto Reuters

Presiden Sri Lanka terpaksa 'bersembunyi'

COLOMBO: Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa bertindak melarikan diri sebelum penunjuk perasaan berkumpul dan menyerbu perkarangan kediaman rasminya di bandar raya ini, hari ini, bagi menuntut peletakan jawatannya.

Perkara itu dimaklumkan pegawai pertahanan tertinggi yang turut memaklumkan presiden diiringi ke tempat selamat.

Tambahnya, pasukan tentera Sri Lanka melepaskan tembakan ke udara bagi menghalang orang ramai yang marah daripada membanjiri Istana Presiden.

Sebuah penyiar swasta, Sirasa TV, menunjukkan orang ramai memasuki kediaman yang dahulunya dikawal ketat.

Sri Lanka mengalami masalah kekurangan bekalan makanan dan bahan api selama berbulan-bulan, terputus bekalan elektrik dan

inflasi yang melambung tinggi selepas kehabisan mata wang asing untuk mengimport barangan penting.

Orang ramai berpusu-pusu memasuki ibu negara bagi menyertai demonstrasi, ungkapan terbaru pergolakan yang dicetuskan oleh krisis ekonomi negara di negara kepulauan itu yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Penunjuk perasaan memasuki kediaman Rajapaksa menuntut beliau segera meletak jawatan. - Foto Reuters
Penunjuk perasaan memasuki kediaman Rajapaksa menuntut beliau segera meletak jawatan. - Foto Reuters

Semalam, pihak polis menarik balik perintah berkurung selepas parti pembangkang, aktivis hak asasi manusia dan persatuan peguam mengancam untuk menyaman ketua polis.

Ribuan penunjuk perasaan anti-kerajaan tidak mengendahkan perintah duduk di rumah, malah turut memaksa pihak berkuasa kereta api untuk membawa mereka ke Colombo bagi menyertai perhimpunan itu.

Sejak awal pagi tadi, ribuan penunjuk perasaan sudah mula 'mengepung' kediaman Rajapaksa menuntut beliau segera meletak jawatan.

Polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan mereka, namun menerima tentangan daripada penunjuk perasaan yang semakin bertambah.

Penunjuk perasaan sudah berbulan-bulan berkhemah di luar pejabat Rajapaksa untuk menuntut peletakan jawatannya kerana salah urus ekonomi.

Beribu-ribu askar bersenjatakan senapang dibawa masuk ke Colombo sejak semalam untuk membantu pasukan polis yang mengawal kediaman rasmi Rajapaksa, di mana penunjuk perasaan antikerajaan berikrar untuk menyerbunya hari ini.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa pihak berkuasa Sri Lanka dan penunjuk perasaan untuk memastikan bahawa demonstrasi berjalan dengan aman.

Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia berkata sembilan orang terbunuh dan ratusan cedera apabila pertempuran meletus di seluruh negara selepas penyokong setia Rajapaksa menyerang penunjuk perasaan di luar pejabat presiden pada Mei lalu.

Sri Lanka, yang diisytiharkan negara muflis, gagal membayar balik hutang luar berjumlah AS$51 bilion (RM226 bilion) dan kini mengadakan rundingan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi mendapatkan bantuan. - AFP

Berita Harian X