HONG KONG: Kerajaan akan mengkaji keperluan bagi memendekkan tempoh kuarantin COVID-19 bagi pengembara dan pada masa sama terus berusaha mengekang penularan virus itu bagi memastikan hospital tidak menerima beban kes tinggi, kata Ketua Eksekutif baharu, John Lee.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mingguan pertamanya sebagai ketua eksekutif hari ini, selepas mengangkat sumpah Jumaat pada majlis yang dipengerusikan Presiden China, Xi Jinping sempena acara 25 tahun meraikan bekas jajahan British itu kembali kepada pemerintahan China.
China adalah negara tunggal menjalankan strategi 'sifar COVID-19' yang bertujuan menghapuskan semua penularan virus pada sebarang kos.
"Saya sedar keperluan untuk Hong Kong kekal terbuka dan menetapkan prosedur yang mudah kepada pengembara, tetapi penting juga kepada kita menangani risiko pada masa sama," kata Lee kepada wartawan.
Beliau juga sudah mengarahkan Setiausaha Kesihatan, Lo Chung-mu untuk meneliti kaedah bagi memendekkan tempoh kuarantin wajib terhadap pengembara, namun butiran lanjut perkara itu tidak didedahkan.
"Saya memberikannya masa untuk meneliti statistik bagi membolehkan merumuskan beberapa pilihan yang boleh kita pertimbangkan," katanya.
Hong Kong, bandar yang mempunyai beberapa sekatan perjalanan paling ketat di dunia di luar China, pada minggu lalu, melaporkan jumlah kes harian sekitar 2,000 kes, lapor agensi berita CNA.
Angka sedemikian akan menjadi penanda aras kepada sekatan yang sangat ketat terhadap aktiviti harian di mana-mana bandar China.
Bandar terbabit masih mengenakan perintah kuarantin di hotel selama tujuh hari ketika ketibaan dengan kos ditanggung pengembara sendiri, selain mengkehendaki pengembara melengkapkan sejumlah borang dan keperluan ujian yang ketat daripada penumpang yang menaiki penerbangan ke Hong Kong.
Syarikat penerbangan berdepan penggantungan jika pihak itu membawa masuk terlalu ramai penumpang yang disahkan positif selepas mendarat, menyebabkan penerbangan dibatalkan dan orang ramai menempuh kesukaran untuk menempah semula perjalanan dan hotel yang akhirnya terkandas, dalam beberapa kes sejak berbulan-bulan, di luar bandar.
Sementara itu, Chung-mau berkata beliau berharap sempadan dengan Shenzhen akan dibuka semula sebelum 4 Ogos ini.
Hab kewangan Asia itu yang menghadapi gelombang besar jangkitan COVID-19 tahun ini, secara rasmi melaporkan lebih satu juta kes dan lebih 9,000 kematian, sekali gus menjadikan ia antara satu kadar kematian tertinggi di dunia sejak permulaan pandemik COVID-19.
Dalam pada itu, sesetengah ahli epidemiologi menganggarkan lebih daripada empat juta orang di bandar dengan 7.4 juta orang penduduknya mungkin sudah dijangkiti.
Pegawai kesihatan berkata, hospital di bandar itu tidak mengalami tekanan ketara apabila kes COVID-19 meningkat semula. - AGENSI