Selasa, 5 Julai 2022 | 11:59am
Pembukaan sempadan antara Hong Kong dan tanah besar China akan bergantung kepada situasi wabak di Hong Kong dan pengurangan jangkitan dalam masyarakat. - Foto AGENSI
Pembukaan sempadan antara Hong Kong dan tanah besar China akan bergantung kepada situasi wabak di Hong Kong dan pengurangan jangkitan dalam masyarakat. - Foto AGENSI

Hong Kong harap sempadan dengan China dibuka sebelum 4 Ogos

BEIJING: Setiausaha Kesihatan baharu Hong Kong, Lo Chung-mau, berkata beliau berharap sempadan dengan Shenzhen akan dibuka semula sebelum 4 Ogos ini, satu langkah yang akan menandakan kelonggaran besar terhadap kawalan sempadan ketat oleh China.

Melalui satu blog di laman web Biro Kesihatan Hong Kong, Chung-mau semalam menzahirkan harapan supaya saudara yang dipisahkan sempadan antara Hong Kong dan tanah besar China dapat bersatu semula tepat pada masanya untuk Festival 'Qixi' pada 4 Ogos ini, sambutan di China yang menyamai Hari Valentine.

"Saya berharap wabak ini dapat dikawal dan dengan kerjasama antara Hong Kong dan Shenzhen, lebih ramai orang yang perlu kembali ke Tanah Besar untuk pertemuan keluarga... boleh memasuki Shenzhen melalui Jambatan Teluk Shenzhen," kata Chung-mau yang diumumkan memegang jawatan itu oleh Majlis Negara China, bulan lalu.

Walaupun ini bukan kali pertama pegawai Hong Kong membayangkan kemungkinan pembukaan semula sempadan, kenyataan Chung-mau itu dibuat selepas China mengurangkan separuh daripada tempoh kuarantin bagi kemasukan pelancong minggu lalu, kelonggaran besar ke atas sekatan COVID-19 yang menghalang perjalanan ke China selama dua setengah tahun, termasuk dari Hong Kong.

Dalam catatan blog Chung-mau itu, yang hanya diterbitkan dalam bahasa Cina, beliau berkata, walaupun tempoh kuarantin baharu dilaksanakan selama tujuh hari di kemudahan berpusat, diikuti pemantauan diri selama tiga hari, kemasukan ke tanah besar China dari Hong Kong masih sukar.

Katanya, permintaan untuk hotel kuarantin di Shenzhen hanya meningkat dengan mengurangkan tempoh kuarantin.

Beliau juga menyatakan mengenai isu berulang lain, seperti menempah tempat duduk di dalam bas dari Hong Kong ke Shenzhen.

Chung-mau berkata, pembukaan sempadan antara Hong Kong dan tanah besar China akan bergantung kepada situasi wabak di Hong Kong dan pengurangan jangkitan dalam masyarakat.

Hong Kong, semalam melaporkan 1,645 jangkitan COVID-19 tempatan dan 196 jangkitan import.

Kenyataan Chung-mau itu menimbulkan beberapa perbincangan di platform media sosial Weibo China, dengan beberapa pengguna menyatakan bantahan terhadap langkah itu kerana bimbang terhadap jangkitan import dan akan menyebabkan perintah berkurung di tanah besar China.

"Anda tidak boleh terlalu membukanya... apabila berlaku masalah, ia akan membabitkan ramai orang, kadar jangkitan virus itu sangat tinggi ketika ini," tulis pengguna, Ci1027.

Pengguna Weibo lain berharap kenyataan Chung-mau itu menandakan pembukaan semula sempadan tidak lama lagi, namun berasa ragu ia boleh dilaksanakan sebelum 4 Ogos.

"Jika ini benar-benar menjadi kenyataan, ia akan menjadi berita terbaik tahun ini," tulis seorang pengguna dari wilayah jiran, Guangdong. - REUTERS

Berita Harian X