Ahad, 3 Julai 2022 | 1:08pm
Biro cuaca Australia memberi amaran hujan lebat berpotensi mengakibatkan banjir kilat dan runtuh. - Foto AP
Biro cuaca Australia memberi amaran hujan lebat berpotensi mengakibatkan banjir kilat dan runtuh. - Foto AP

Ribuan rakyat Australia diarah berpindah

MELBOURNE: Ribuan penduduk diarah berpindah ke barat daya Sydney, bandar terbesar Australia hari ini susulan hujan lebat dan ribut membadai kawasan pantai timur negara itu.

Biro cuaca memberi amaran mengenai hujan lebat yang berpotensi mengakibatkan banjir kilat dan tanah runtuh di sepanjang wilayah pantai timur dari Newcastle ke Teluk Bateman di negeri New South Wales dengan hujan dijangka meningkat dalam tempoh dua hari akan datang.

"Kami kini menghadapi bahaya dalam pelbagai aspek seperti banjir kilat, banjir sungai dan hakisan pantai," kata Menteri Perkhidmatan Kecemasan New South Wales, Steph Cooke dalam taklimat media televisyen.

Beliau juga menggesa orang ramai supaya mempertimbangkan semula perjalanan bercuti dengan cuaca buruk melanda pada awal cuti sekolah.

"Ini adalah situasi kecemasan yang mengancam nyawa," kata Cooke.

Lebih 200 milimeter (mm) hujan melanda banyak kawasan dengan sebahagiannya mencecah sehingga 350mm, kata Biro Meteorologi memberi amaran mengenai risiko banjir di sepanjang Sungai Nepean.

Hujan lebat menyebabkan empangan utama Sydney melimpah, kata pihak berkuasa air sambil menambah permodelan menunjukkan tumpahan itu akan setanding dengan tumpahan besar yang berlaku pada Mac 2021 di Empangan Warragamba.

"Tiada ruang untuk air kekal di empangan. Ia mulai tumpah dan sungai-sungai mengalir deras serta sangat berbahaya. Kemudian, kami mempunyai risiko banjir kilat bergantung kepada tempat berlaku hujan, kata Pesuruhjaya Perkhidmatan Kecemasan Negeri, Carlene York.

Sejak beberapa hari lalu, seramai 29 orang diselamatkan daripada bencana banjir, termasuk seorang yang tergantung pada tiang selama sejam ketika anggota penyelamat bergelut untuk menyelamatkan mangsa.

Kerajaan Australia menghantar bantuan 100 tentera termasuk dua helikopter bagi misi membantu dan menyelamat mangsa, kata Menteri Pertahanan, Richard Marles di Sky News. - REUTERS

Berita Harian X