Sabtu, 2 Julai 2022 | 8:08am
 Foto AGENSI
Foto AGENSI

Arab Saudi keluar panduan haji dalam 14 bahasa

MAKKAH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menerusi kerjasama strategik dengan Pihak Berkuasa Am untuk Awqaf melancarkan inisiatif kesedaran unik untuk jemaah haji dari seluruh dunia, sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan 'outreach' untuk musim haji tahun ini.

Inisiatif baharu itu merangkumi 13 panduan terperinci yang menerangkan pelbagai peringkat menunaikan haji dalam format yang mudah difahami dengan topik menarik minat jemaah.

E-panduan tersedia dalam bahasa Arab, Inggeris, Perancis, Urdu, Bengali, Indonesia, Malaysia, Hausa, Amhar, Parsi, Sepanyol, Turki, Russia dan Sinhala.

Penerbitan panduan kesedaran adalah selaras dengan objektif Wawasan Saudi 2030 untuk memudahkan dan melancarkan perjalanan ibadah haji jemaah.

Memetik laporan Saudi Gazette, dengan menjawab soalan dalam lebih 14 bahasa yang paling banyak dituturkan, kementerian berusaha menjaga kesihatan, keselamatan dan hak jemaah haji.

Sebanyak 182 panduan pendidikan termasuk terjemahan yang merangkumi semua maklumat agama, kesihatan, prosedur dan logistik yang diperlukan oleh jemaah haji direka bentuk menggunakan pelbagai imej, ilustrasi dan klip video pendidikan pendek yang canggih.

Menerusi inisiatif itu dan beberapa yang lain, Kementerian Haji dan Umrah melakukan segala usaha untuk memberi khidmat kepada jemaah haji dengan cara terbaik.

Panduan setebal 10,178 muka surat itu boleh diakses di mana-mana, pada bila-bila masa dan pada mana-mana peranti secara percuma, dan dihasilkan dengan kerjasama strategik dengan Pihak Berkuasa Am untuk Awqaf, dan dengan kerjasama agensi kerajaan lain yang menyediakan perkhidmatan kepada jemaah haji.

Panduan itu melengkapkan jemaah haji dan umrah dengan pengetahuan penting yang mereka perlukan mengenai aspek ibadah haji secara jelas, langsung dan bersepadu.

Panduan boleh diakses dengan melayari laman web kementerian melalui pautan: https://guide.haj.gov.sa/.

Sementara itu seramai 344,881 jemaah daripada pelbagai negara tiba di Madinah menerusi laluan udara dan darat bagi mengerjakan haji tahun ini.

Statistik dikeluarkan Kementerian Haji dan Umrah menunjukkan 278,751 jemaah tiba menerusi pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammed bin Abdulaziz di Madinah sejak ketibaan pesawat pertama membawa jemaah haji, manakala pusat imigresen menerima 49,806 jemaah di pintu masuk sempadan negara.

Jumlah itu merangkumi seramai 12,411 warga Bangladesh, diikuti Pakistan (8,229), India (6,595), Iran (6,433) dan Nigeria (6,320).

Statistik juga menunjukkan seramai 265,130 jemaah meninggalkan Madinah dalam tempoh beberapa hari lalu menuju ke tapak suci di Makkah, manakala jemaah yang masih berada di Madinah sehingga Khamis lalu dilaporkan seramai 79,451 orang. - AGENSI

Berita Harian X