GUWAHATI: Tanah runtuh di timur laut India membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang dan pasukan keselamatan bergegas menyelamatkan berpuluh-puluh lagi yang dikhuatiri terperangkap di bawah serpihan, kata pihak berkuasa hari ini.
Pegawai mengesahkan bahawa 19 orang ditarik keluar hidup-hidup selepas sebahagian daripada sebuah bukit runtuh dan melanda kem pembinaan kereta api di daerah Noney di negeri Manipur.
"Saya berdoa untuk keselamatan semua yang terjejas. Fikiran saya bersama keluarga yang berduka. Semoga yang cedera segera pulih," kata Perdana Menteri, Narendra Modi di Twitter.
Operasi menyelamat terhalang oleh hujan dan lebih banyak tanah runtuh, kata tentera India.
"Usaha bersepadu sedang dijalankan untuk menyelamatkan individu yang hilang. Helikopter tentera sedang bersiap sedia menunggu cuaca cerah," kata jurucakap tentera, Sumit Kumar Sharma.
Timur laut terpencil India dilanda hujan lebat, mencetuskan tanah runtuh dan banjir.
Berpuluh-puluh terbunuh di wilayah itu selepas banjir awal bulan ini, dengan hujan tidak henti-henti mencetuskan tanah runtuh dan menenggelamkan rumah.
Awal tahun ini, sekurang-kurangnya 10 orang termasuk seorang kanak-kanak berusia empat tahun terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh selepas hujan lebat luar biasa melanda beberapa bahagian di India.
Pakar berkata, perubahan iklim meningkatkan jumlah kejadian cuaca ekstrim di seluruh dunia, dengan projek pembinaan empangan, penebangan hutan dan pembangunan di India memburukkan lagi jumlah korban manusia. - AFP