Khamis, 30 Jun 2022 | 8:42pm
Sri Lanka mengalami kemelesetan ekonomi paling teruk dalam sejarahnya. - Foto AFP
Sri Lanka mengalami kemelesetan ekonomi paling teruk dalam sejarahnya. - Foto AFP

Sri Lanka perlu tangani rasuah, tingkatkan cukai - IMF

COLOMBO: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberitahu bahawa Sri Lanka harus menghapuskan rasuah dan menaikkan cukai bagi menyelamatkan ekonominya.

IMF berkata demikian selepas rundingan menyelamat dengan negara kepulauan yang bankrap itu.

Wakil daripada pemberi pinjaman global yang juga jalan keluar terakhir bagi negara itu, baru saja menamatkan lawatan 10 hari ke ibu negara Colombo untuk merangka penyelesaian kepada krisis ekonomi negara Asia Selatan yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Pertemuan itu dibuat selepas negara berkenaan berdepan pemotongan elektrik selama berbulan-bulan dan rakyat terpaksa beratur berhari-hari bagi mendapatkan petrol, selepas masalah kewangan menyebabkan Sri Lanka tidak mempunyai dana untuk memenuhi keperluan tenaganya.

Namun, IMF berkata lebih banyak perkara yang perlu dilakukan untuk membetulkan semula kewangan negara dan memperbaiki defisit fiskalnya sebelum perjanjian boleh dibuat mengenai pengaturan pembiayaan untuk menangani krisis imbangan pembayarannya.

"Memandangkan tahap pendapatan yang rendah, pembaharuan cukai yang meluas diperlukan segera," kata IMF dalam satu kenyataan.

Sri Lanka perlu 'mengurangkan kelemahan rasuah', membendung inflasi yang meningkat dan menamatkan subsidi tenaga yang mahal dan sudah lama mengurus belanjawan kerajaan tanpa menyakiti rakyat yang lebih terdedah, tambah kenyataan itu.

"Pihak berkuasa sudah mencapai kemajuan besar dalam merangka program pembaharuan ekonomi dan kami tidak sabar untuk meneruskan dialog dengan mereka," katanya.

Ia juga sudah mengurangkan subsidi tenaga, dengan kos bahan api meningkat sehingga 400 peratus tahun ini dan pada bulan April lalu kerajaan gagal membayar hutang asing AS$51 bilion (RM224.82 bilion).

Seramai 22 juta penduduk Sri Lanka terpaksa bersusah payah dalam menghadapi kekurangan makanan, farmaseutikal dan keperluan lain yang kronik pada tahun ini.

Negara itu hampir kehabisan petrol dan kerajaan menutup perkhidmatan awam yang tidak penting dalam usaha untuk menjimatkan bahan api.

Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PNB) menganggarkan kira-kira 80 peratus orang awam tidak makan untuk mengatasi kekurangan makanan dan rekod harga.

Protes berlaku di negara itu menuntut Presiden Gotabaya Rajapaksa meletak jawatan kerana salah urus kerajaan dalam krisis itu, tetapi presiden setakat ini enggan berundur. - AFP

Berita Harian X