Rabu, 29 Jun 2022 | 9:09am
Anggota pasukan keselamatan mencari mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan di daerah tengah Mumbai, India. - Foto AFP
Anggota pasukan keselamatan mencari mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan di daerah tengah Mumbai, India. - Foto AFP

19 maut bangunan runtuh di Mumbai

MUMBAI: Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh apabila hujan monsun menyebabkan sebuah bangunan empat tingkat runtuh di kota besar India, Mumbai, kata pihak berkuasa.

Bangunan terletak di sebelah kawasan setinggan di daerah pusat bandar itu runtuh sebelum waktu tengah malam, menurut pegawai tempatan.

Seramai 14 mangsa berjaya diselamatkan, manakala 19 mayat ditemui dalam runtuhan itu.

"Operasi mencari dan menyelamat diteruskan," kata jurucakap Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan kepada AFP.

Sekurang-kurangnya enam daripada mangsa yang terbunuh berusia antara 18 hingga 21 tahun, kata pihak berkuasa bandar.

Hujan lebat menyukarkan operasi apabila penyelamat terpaksa mengalihkan struktur konkrit dan mengeluarkan lumpur untuk mencari mangsa dalam runtuhan bangunan berkenaan.

Seorang wanita dipercayai kakak kepada seorang mangsa dilihat meraung dan menangis ketika mayat dibawa masuk ke dalam ambulans.

Hujan monsun dari Jun hingga September adalah penting untuk mengisi semula sungai dan air bawah tanah di India, tetapi kejadian banjir juga menyebabkan kemusnahan yang banyak.

Bangunan runtuh adalah perkara biasa di negara itu ketika ini dengan struktur kediaman lama dilihat bergoyang apabila berlaku hujan tanpa henti.

Menteri negeri Maharashtra, Aaditya Thackeray, menggesa penduduk supaya mengosongkan bangunan usang yang diduduki mereka.

"Saya berdoa orang ramai mendengar arahan pihak berkuasa dan berpindah ke lokasi lain untuk mengelakkan sebarang bencana tragis seperti kejadian ini," kata Thackeray ketika melawat lokasi kejadian.

Negeri barat Maharashtra, dilanda banjir dan tanah runtuh tahun lalu dengan mengorbankan 200 orang. - AGENSI

Berita Harian X