Selasa, 28 Jun 2022 | 5:37pm

Bangunan runtuh di Mumbai, 3 maut, ramai terperangkap

Pekerja penyelamat membersihkan sisa runtuhan bangunan kediaman di Mumbai India. - Foto REUTERS
Pekerja penyelamat membersihkan sisa runtuhan bangunan kediaman di Mumbai India. - Foto REUTERS

MUMBAI: Sekurang-kurangnya tiga orang maut manakala 10 lagi terperangkap selepas sebuah bangunan empat tingkat runtuh di Kurla, Mumbai di India malam tadi.

Tragedi dilaporkan berlaku pada jam 11.52 malam tadi, dengan lapan mangsa berjaya diselamatkan setakat ini, menurut laporan TV tempatan hari ini.

Sebanyak tujuh trak bomba, dua van penyelamat dan ambulans dikerah untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Makluman awal daripada pihak bomba menganggarkan hampir 20 mangsa terperangkap di bawah runtuhan.

Difahamkan bangunan berkenaan sudah usang dan notis untuk merobohkannya dikeluarkan sejak 2013, lapor Times of India.

Pekerja penyelamat membawa keluar seorang mangsa dari timbunan runtuhan bangunan kediaman di Mumbai India. - Foto AFP
Pekerja penyelamat membawa keluar seorang mangsa dari timbunan runtuhan bangunan kediaman di Mumbai India. - Foto AFP

Mangsa dibawa ke Hospital Rajawadi di Ghatkopar, di mana tiga disahkan maut dan terbaru, seorang mangsa wanita berjaya dibawa keluar oleh Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan (NDRF).

Penduduk tempatan memaklumkan sekitar 22 penghuni dikhuatiri masih terperangkap, namun angka sebenar tidak dapat disahkan dan kerja SAR diteruskan.

Sebuah lagi bangunan berhampiran juga sudah usang dan dijangka roboh pada bila-bila masa, sekali gus mendorong pihak berkuasa mengosongkannya. - AGENSI

Berita Harian X