Isnin, 20 Jun 2022 | 5:43pm
Seorang wanita memegang anaknya ketika mereka berpindah dari rumah mereka yang tenggelam dalam kawasan banjir berikutan hujan monsun lebat di Goyainghat. - Foto AFP
Seorang wanita memegang anaknya ketika mereka berpindah dari rumah mereka yang tenggelam dalam kawasan banjir berikutan hujan monsun lebat di Goyainghat. - Foto AFP

25 lagi maut, jutaan terkesan banjir buruk di dua negara

GUWAHATI: Sekurang-kurangnya 26 orang maut dalam banjir monsun dan ribut petir di India, tatkala tragedi alam itu membadai dua negara termasuk Bangladesh.

Banjir ketika ini adalah ancaman biasa di India dan Bangladesh, tetapi pakar berkata, perubahan iklim meningkatkan kekerapan berlaku, sekali gus menyebabkan ketidakpastian cuaca terhadap 1.6 bilion penduduk kedua-dua negara itu.

Pihak berkuasa pengurusan bencana berkata, di Assam, di timur laut India, tiga orang terbunuh dalam tanah runtuh, manakala enam lagi maut dalam air banjir.

Di Bihar pula, menteri pengurusan bencana tempatan, Renu Devi, berkata kilat yang dicetuskan oleh ribut membunuh sekurang-kurangnya 17 orang.

Assam terus dilanda banjir buruk dengan 5,140 kampung merentasi 33 daerah di negeri itu ditenggelami air pasang, manakala lebih 100,000 penduduk kampung berlindung di pusat perlindungan.

Negeri itu mulanya dilanda banjir pada April lalu apabila hujan berlaku sebelum monsun tiba, menyebabkan banjir yang mengorbankan 44 nyawa.

Air banjir surut selepas beberapa minggu tetapi naik semula pada Jun, iaitu permulaan musim tengkujuh tahunan dan menjadikan jumlah kematian kepada 71 setakat ini.

Di negeri jirannya Meghalaya, sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh sejak Khamis lalu selepas tanah runtuh dan sungai berarus deras menenggelamkan jalan raya.

Malah, ribut monsun juga menyebabkan banjir yang dahsyat di Bangladesh yang mengakibatkan berjuta-juta terkandas dan membunuh berpuluh-puluh setakat ini.

Ketua pentadbir daerah, Mosharraf Hossain berkata, air banjir beransur-ansur surut dari daerah timur laut Sylhet hari ini, dengan berjuta masih terkesan.

"Pusat perlindungan penuh dengan orang yang terjejas. Terdapat krisis besar makanan dan air minuman. Ramai yang takut untuk pulang ke rumah, manakala ramai yang kehilangan rumah akibat air banjir," katanya kepada AFP.

Seorang pegawai polis, Aminul Islam memberitahu AFP, di daerah Jamalpur, seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dihanyutkan arus deras dari halaman rumahnya yang ditenggelami air dan kemudian ditemui mati.

Hujan lebat juga berterusan di daerah tenggara Chittagong Hills yang membawa kepada banjir di bandar pelabuhan dan memburukkan lagi risiko tanah runtuh. - AFP

Berita Harian X