Ahad, 19 Jun 2022 | 5:06pm
Penunjuk perasaan melaungkan slogan dan mengibarkan bendera Sri Lanka ketika protes ‘Occupy Galle Face’ di hadapan Sekretariat Presiden di Colombo, Sri Lanka.
Penunjuk perasaan melaungkan slogan dan mengibarkan bendera Sri Lanka ketika protes ‘Occupy Galle Face’ di hadapan Sekretariat Presiden di Colombo, Sri Lanka.

Penduduk Sri Lanka ke luar negara cari kerja

COLOMBO: Data kerajaan menunjukkan jumlah rakyat Sri Lanka yang memohon pasport dan seterusnya meninggalkan negara meningkat dua kali ganda berbanding tahun lalu.

Sebahagian besar pemohon pasport mengakui ingin mencari pekerjaan baharu di luar negara akibat krisis kewangan Sri Lanka yang terburuk sejak tujuh dekad lalu, yang saban hari bertambah teruk .

Arab News melaporkan, Jabatan Imigresen Sri Lanka memaklumkan pihaknya kini menerima antara 4,000 hingga 4,500 permohonan pasport sehari, berbanding memproses hanya sekitar 2,000 permohonan sehari tahun lalu.

Hampir semua pemohon mengakui mahu meninggalkan Sri Lanka berikutan ketidaktentuan politik dan ekonomi yang semakin sukar dikawal.

Sri Lanka menghadapi kekurangan rizab pertukaran asing yang paling teruk, dengan kerajaan tidak dapat membiayai kos import paling penting seperti makanan, bahan api dan ubat-ubatan.

Negara dengan 22 juta penduduk itu mengalami krisis ekonomi paling teruk selama beberapa bulan susulan keengganan Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa, melepaskan jawatan meskipun gagal memperbaiki keadaan.

Abangnya, Mahinda Rajapaksa, yang juga Perdana Menteri Sri Lanka, meletak jawatan lebih awal bersama beberapa anggota keluarga lain yang berada dalam Kabinet, selepas berlaku tunjuk perasaan besar-besaran menentang kerajaan.

Semalam, ribuan penunjuk perasaan menyertai protes 'Occupy Galle Face' yang sudah berlanjutan hampir dua bulan di hadapan Sekretariat Presiden di Colombo, mendesak Gotabaya meletak jawatan.

Penduduk kini semakin kekurangan bekalan petrol, diesel dan gas memasak, manakala makanan ruji terpaksa dicatu.

Sementara itu, tinjauan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati kira-kira dua pertiga isi rumah di Sri Lanka kini dipaksa mengurangkan pengambilan makanan. - AGENSI

Berita Harian X