Sabtu, 18 Jun 2022 | 7:22pm
Polis cuba menghalang penunjuk perasaan berarak ke Kedutaan India di Dhaka, Bangladesh ketika bantahan terhadap perbuatan menghina nabi Muhammad SAW. - Foto AFP
Polis cuba menghalang penunjuk perasaan berarak ke Kedutaan India di Dhaka, Bangladesh ketika bantahan terhadap perbuatan menghina nabi Muhammad SAW. - Foto AFP

Umat Islam di beberapa negara teruskan protes bantah hina Nabi

DHAKA: Kira-kira 10,000 umat Islam berhimpun di Dhaka, Bangladesh untuk menyatakan bantahan susulan kenyataan menghina Nabi yang dibuat pegawai parti pemerintah India mengenai Nabi Muhammad saw.

Tindakan bekas pegawai parti Bharatiya Janata (BJP), Nupur Sharma, mencetuskan ketegangan diplomatik terhadap pemerintah India di serata dunia.

Menurut laporan Al Jazeera, protes berlaku di Dhaka di mana umat Islam berarak sambil membawa sepanduk dan melaungkan slogan menggesa Sharma ditahan segera.

Pihak berkuasa di India mengarahkan supaya kawalan keselamatan dipertingkatkan di beberapa wilayah ketika solat Jumaat selepas dua orang ditembak mati dalam protes di sana minggu lalu, lapor media tempatan.

Jumaat lalu, umat Islam di India, Bangladesh dan Pakistan berhimpun beramai-ramai di jalan raya berikutan komen jurucakap parti pemerintah India pada 26 Mei lalu.

Di New Delhi, sejumlah besar penduduk berkumpul di luar Masjid Jama di ibu kota lama dan melaungkan slogan menentang pemerintah parti BJP.

Protes sama berlaku di beberapa negeri lain di India termasuk Benggala Barat dan Telangana.

Pemerintah di hampir 20 negara memanggil duta India untuk mendapatkan penjelasan mengenai kenyataan Sharma itu.

Melaungkan slogan seperti 'Umat Islam dunia bersatu!', penunjuk perasaan Bangladesh berhimpun di hadapan masjid terbesar Dhaka dan cuba berarak ke kedutaan India sebelum disekat polis.

"Terdapat kira-kira 10,000 orang berarak. Mereka bergerak secara aman," kata pegawai kanan polis, Enamul Haq kepada AFP.

Protes kelmarin dianjurkan oleh Islami Andolan Bangladesh, antara parti politik Islam terbesar di Bangladesh.

Kira-kira 150,000 orang melakukan tunjuk perasaan Jumaat lalu di bandar utama Bangladesh, termasuk 20,000 di ibu negara Dhaka dan ribuan lagi di bandar serta universiti.

Tindakan Seorang peguam warga Bangladesh yang dilaporkan menghina Nabi Muhammad SAW di media sosial kelmarin turut menambahkan lagi ketegangan sedia ada di seluruh negara itu.

Hantaran di Facebook itu tular di media sosial ketika negara Asia Selatan yang majoriti penduduknya beragama Islam berang terhadap kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW oleh dua pegawai BJP minggu lalu, lapor agensi Anadolu.

Peguam lain yang mengadakan bantahan besar-besaran di Mahkamah Agung Bangladesh, tempat peguam itu bekerja dan turut merosakkan pejabatnya.

Mereka turut mengadakan perhimpunan mendesak peguam itu segera dihukum, manakala Majlis Peguam Mahkamah Agung Bangladesh sudah pun menggantung keahlian peguam terbabit. - AGENSI

Berita Harian X