Rabu, 15 Jun 2022 | 9:10pm
Krisis ekonomi Sri Lanka semakin buruk sehingga rakyat kekurangan bekalan makanan dan bahan api, sekali gus mendorong ramai menjadi pelarian. - Foto EPA
Krisis ekonomi Sri Lanka semakin buruk sehingga rakyat kekurangan bekalan makanan dan bahan api, sekali gus mendorong ramai menjadi pelarian. - Foto EPA

Tentera laut Sri Lanka tahan bot pelarian menuju ke Australia

COLOMBO: Tentera laut Sri Lanka menahan bot pukat tunda yang membawa puluhan pelarian dari negara itu ke Australia hari ini iaitu kes kelima seumpamanya yang berjaya dihalang sejak bulan lalu.

Jurucakap tentera laut Sri Lanka, Indika de Silva, berkata bot dengan lima anak kapal itu dikesan berhampiran Trincomalee di timur pesisir pantai Sri Lanka, membawa 50 lelaki, 11 wanita serta tiga kanak-kanak.

"Bot itu baru berlepas daripada lokasi di sekitar pesisir Trincomalee ketika ia dikesan oleh kapal tentera laut. Semua suspek akan diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

"Empat lagi bot yang mahu membawa penumpang ke Australia dikesan cuba berlepas dari Sri Lanka sejak bulan lalu, dengan 300 individu ditahan atas kesalahan berkaitan imigresen dalam tempoh sama," katanya.

Sebelum ini, pihak berkuasa keselamatan memaklumkan krisis ekonomi Sri Lanka yang semakin memburuk dijangka meningkatkan aktiviti penghijrahan secara haram.

Sejak beberapa bulan lalu, negara itu berdepan kekurangan bekalan makanan, minyak dan perubatan yang kritikal, selepas kehabisan pertukaran mata wang asing untuk mengimport barangan keperluan.

Pendirian tegas Australia dalam isu imigresen melarang mana-mana pihak yang tiba menerusi bot tanpa kelulusan, untuk kekal secara tetap di negara itu.

Kepulauan Christmas, wilayah Australia yang paling hampir dengan Sri Lanka, terletak kira-kira 3,500 kilometer (km) di tenggara Sri Lanka. Tanah besar Australia pula terletak 5,500km dari Sri Lanka. - AFP

Berita Harian X