Rabu, 15 Jun 2022 | 1:30pm
Gambar yang diambil pada 24 Mac 2022 dan dikeluarkan daripada Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) rasmi Korea Utara pada 25 Mac 2022 menunjukkan pelancaran ujian mengenai apa yang dilaporkan media negara jenis baru peluru berpandu balistik antara benua (ICBM), Hwasongpho - Foto AFP
Gambar yang diambil pada 24 Mac 2022 dan dikeluarkan daripada Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) rasmi Korea Utara pada 25 Mac 2022 menunjukkan pelancaran ujian mengenai apa yang dilaporkan media negara jenis baru peluru berpandu balistik antara benua (ICBM), Hwasongpho - Foto AFP

Korea Utara belanja RM2.8 bilion untuk nuklear tahun lalu

SEOUL: Korea Utara mungkin sudah membelanjakan sebanyak AS$642 juta (RM2.8 bilion) untuk program nuklearnya tahun lalu, menurut aktivis antinuklear, biarpun negara itu bergelut untuk melawan COVID-19 dan menangani krisis ekonominya.

Bagaimanapun, tiada data disahkan mengenai perbelanjaan nuklear oleh Korea Utara atau saiz senjatanya.

Sejak 2006, negara itu sudah menjalankan sekurang-kurangnya enam ujian nuklear dan kini kelihatannya sedang bersedia untuk meneruskan ujian buat kali pertama sejak 2017.

Dalam laporan mengenai perbelanjaan senjata nuklear global dikeluarkan semalam, Kempen Antarabangsa untuk Memansuhkan Senjata Nuklear (ICAN) yang berpangkalan di Geneva berkata, anggaran itu berdasarkan andaian Korea Utara terus membelanjakan kira-kira satu pertiga daripada pendapatan negara kasar (GNI) untuk pertahanan dan kira-kira enam peratus daripada bajet pertahanan itu untuk senjata nuklear.

Anggaran itu meletakkan Korea Utara sebagai negara dengan perbelanjaan terendah daripada sembilan negara bersenjata nuklear yang direkod dalam laporan ICAN, dengan negara terendah berikutnya adalah Pakistan.

Amerika Syarikat (AS), yang mengetuai kempen antarabangsa untuk mengenakan sekatan ke atas Korea Utara berhubung pembangunan senjata nuklear dan peluru berpandu balistiknya, mengkritik Pyongyang kerana membelanjakan berjuta-juta dolar untuk tenteranya ketika negara itu menghadapi kekurangan makanan dan masalah ekonomi lain.

Korea Utara berkata, ia mempunyai hak berdaulat untuk membangunkan senjata nuklear bagi tujuan mempertahankan diri serta ancaman antarabangsa.

Tidak jelas sama ada Pyongyang mengurangkan sebarang pembiayaan untuk program nuklearnya ketika pendemik.

Namun, penganalisis dan pakar bebas yang memantau sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan Pyongyang kelihatannya sudah bergerak maju dengan matlamat untuk membangun dan mengembangkan senjatanya, menerusi aktiviti dan pembinaan baharu reaktor nuklear utamanya serta lombong uranium.

Laporan tahunan dikeluarkan Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) minggu ini, menganggarkan Korea Utara sudah memasang sehingga 20 kepala peledak, dan mungkin memiliki bahan fisil yang mencukupi untuk kira-kira 45-55 peranti nuklearnya.

"Program nuklear ketenteraan Korea Utara kekal sebagai pusat kepada strategi keselamatan negaranya," kata SIPRI.

Kertas putih pertahanan terbaharu Korea Selatan melaporkan negara jirannya itu memiliki kira-kira 50 kilogram plutonium gred senjata dan jumlah uranium yang tinggi, anggaran yang kekal tidak berubah sejak 2016. - REUTERS

Berita Harian X