Sabtu, 11 Jun 2022 | 8:24pm
Gambar yang diambil pada 5 Mac 2020 menunjukkan letupan berikutan serangan udara Russia ke atas kampung al-Bara di bahagian selatan wilayah barat laut Syria, Idlib. - Foto AFP
Gambar yang diambil pada 5 Mac 2020 menunjukkan letupan berikutan serangan udara Russia ke atas kampung al-Bara di bahagian selatan wilayah barat laut Syria, Idlib. - Foto AFP

11 maut dalam letupan periuk api Syria

BEIRUT: Sebelas orang terbunuh dan berpuluh-puluh cedera apabila trak pikap mereka merempuh periuk api berhampiran bandar Daraa di selatan Syria, kata seorang pemantau perang hari ini.

"Sebelas orang, termasuk lima kanak-kanak di bawah 16 tahun dan tiga wanita, terbunuh dan kira-kira 34 orang cedera dalam letupan itu," kata Balai Cerap Hak Asasi Manusia Syria, sambil menambah ada yang berada dalam keadaan kritikal.

Kebanyakan mangsa adalah buruh menuai gandum, kata agensi berita rasmi Syria, SANA.

Angka terbaharu menjadikan 124 jumlah orang yang terbunuh oleh sisa bahan letupan sejak awal 2022, menurut Observatory yang berpangkalan di Britain, yang bergantung pada rangkaian sumber yang luas di Syria.

Bahan letupan yang ditinggalkan oleh semua pihak di padang, di sepanjang jalan atau bahkan di bangunan dalam konflik selama sedekad di Syria telah mencederakan beribu-ribu orang awam dan membunuh ratusan yang lain.

Di seluruh negara, kira-kira separuh penduduk dianggarkan tinggal di kawasan yang tercemar oleh senjata yang tidak meletup, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - AFP

Berita Harian X