Jumaat, 10 Jun 2022 | 6:20pm
Pertahanan udara Syria memintas dan memusnahkan roket yang dilancarkan oleh Israel dari arah Lubnan dan Bukit Golan yang diduduki Israel ke arah Damsyik. - Foto AGENSI
Pertahanan udara Syria memintas dan memusnahkan roket yang dilancarkan oleh Israel dari arah Lubnan dan Bukit Golan yang diduduki Israel ke arah Damsyik. - Foto AGENSI

Israel serang selatan Damsyik - media kerajaan Syria

DAMSYIK: Israel melancarkan serangan peluru berpandu pagi ini dengan menyasarkan beberapa kawasan selatan ibu negara Syria, Damsyik, mengakibatkan sekurang-kurangnya seorang awam cedera, kata media negeri.

"Serangan itu berlaku kira-kira 4.20 pagi (waktu tempatan) dengan Israel melakukan pencerobohan udara melalui tembakan peluru berpandu dari Bukit Golan yang mereka duduki," lapor agensi SANA.

Pertahanan udara Syria berjaya memintas kebanyakan peluru berpandu, bagaimanapun ada sebahagian peluru mencapai sasaran mengakibatkan sekurang-kurangnya seorang orang awam cedera serta menyebabkan kerosakan harta benda, kata SANA.

Menurut Badan Pemerhati Hak Manusia Manusia Syria yang berpangkalan di Britain, serangan Israel ke atas depoh senjata milik gerakan Syiah Lubnan, Hizbullah serta kumpulan lain yang disokong Iran berhampiran lapangan terbang Damsyik.

Menurut badan pemantau yang bergantung pada rangkaian luas sumber di seluruh Syria itu lagi, sekurang-kurangnya tiga kawasan terkena serangan itu mengakibatkan beberapa penduduk cedera.

Sejak perang saudara meletus di Syria pada 2011, Israel melakukan ratusan serangan udara terhadap jirannya, dengan menyasarkan tentera kerajaan serta tentera sekutu yang disokong Iran dan pejuang Hizbullah.

Walaupun Israel jarang mengulas mengenai serangan individu, pihak itu mengakui melakukan ratusan serangan.

Tentera Israel berkata, serangan itu perlu untuk menghalang musuh ketatnya Iran daripada bertapak berhampiran kawasannya.

Konflik di Syria bermula dengan penindasan kejam terhadap protes aman dan meningkat untuk menarik kuasa asing dan pejuang jihad global.

Peperangan itu mengorbankan hampir setengah juta orang dan memaksa kira-kira separuh daripada penduduk sebelum perang negara itu meninggalkan kediaman mereka. - AFP

Berita Harian X