Sabtu, 4 Jun 2022 | 3:54pm
Yadav adalah salah seorang daripada lima orang yang dipilih untuk Anugerah Tenzing Norgay - penghormatan tertinggi negara untuk sukan pengembaraan. - Foto TWITTER
Yadav adalah salah seorang daripada lima orang yang dipilih untuk Anugerah Tenzing Norgay - penghormatan tertinggi negara untuk sukan pengembaraan. - Foto TWITTER

Pendaki 'dinafikan' buktikan mencapai puncak Everest

KATHMANDU: Seorang pendaki India yang diharamkan dari Everest selepas memalsukan pendakian ke puncak gunung tertinggi di dunia itu telah berjaya mendaki puncak secara nyata, memberitahu AFP dia kembali untuk 'membuktikan' dirinya.

Narender Singh Yadav mendakwa telah mencapai puncak gunung setinggi 8,849 meter (m) pada Mei 2016.

Namun, gambar lelaki berusia 26 tahun itu di kemuncak gunung itu kemudiannya ditunjukkan telah diubah suai secara digital, mendorong kerajaan Nepal untuk membatalkan pengiktirafan pencapaiannya.

Yadav dan dua pendaki lain telah dikenakan larangan enam tahun bermula 2016, dan ini adalah tahun pertama dia dapat kembali ke gunung itu.

"Everest adalah impian untuk kita semua tetapi Everest adalah kehidupan untuk saya," kata Yadav kepada AFP semalam.

"Terdapat banyak dakwaan terhadap saya... sebab itu saya (terpaksa) membuktikan diri dan mendaki Everest."

Yadav menegaskan dia sampai ke puncak tetapi ketua ekspedisi itu mengubahsuai gambarnya dan menyiarkannya di media sosial selepas dia dicalonkan untuk Anugerah Pengembaraan Tenzing Norgay India yang berprestij pada 2020.

Anugerah itu kemudiannya ditahan, pengalaman yang dikatakan Yadav adalah 'sangat menyakitkan bagi saya dan keluarga saya'.

Larangannya tamat pada 20 Mei lalu. Tujuh hari kemudian, dia berada di puncak - kali ini dengan simpanan foto dan video yang mencukupi untuk membuktikan kejayaannya.

"Kami memberikannya sijil Rabu lalu selepas dia membentangkan bukti yang mencukupi mengenai kejayaannya ke kemuncak Everest," kata pegawai jabatan pelancongan Nepal, Bishma Raj Bhattrai.

Pemba Rita Sherpa, pemandu dengan penganjur ekspedisi Pioneer Adventure, berkata dua pemandu menemani Yadav dan bukannya seorang seperti kebiasaannya untuk memastikan tiada pertikaian.

"Kami mengambil banyak gambar dan video beliau," katanya.

"Kami perlu bercakap apa yang sebenar. Ini mengenai reputasi Sherpa kami dan reputasi syarikat."

Kejayaan ke kemuncak Everest adalah pencapaian kerjaya tertinggi bagi mana-mana pendaki, dan ramai yang meneruskan kerjaya sebagai penceramah motivasi dan pengarang.

Sistem pengesahan semasa memerlukan foto berserta laporan daripada ketua pasukan dan pegawai perhubungan kerajaan yang ditempatkan di kem asas - tetapi ia terbuka kepada cubaan penipuan.

Sepasang suami isteri India telah diharamkan selama 10 tahun pada 2016 selepas mereka menerbitkan gambar yang diubahsuai, yang dikatakan menunjukkan mereka di puncak Everest.

Pasangan itu - kedua-duanya konstabel polis - menindan diri dan sepanduk mereka pada gambar yang diambil oleh pendaki India lain di puncak.

Tahun ini, cuaca baik yang jarang berlaku telah membolehkan lebih 500 pendaki dan pemandu mencapai puncak Everest sejak sepasukan pendaki Nepal membuka laluan itu pada 7 Mei.

Negara Himalaya membuka semula puncaknya kepada pendaki gunung tahun lalu selepas pandemik COVID-19 menutup industri pada tahun 2020. - AFP

Berita Harian X