Jumaat, 3 Jun 2022 | 11:17am
(Gambar fail) FOTO AFP
(Gambar fail) FOTO AFP

Visa umrah dikeluarkan dalam tempoh 24 jam

AMMAN: Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Al-Rabiah, semalam mengumumkan pelancaran perkhidmatan elektronik untuk permohonan visa umrah bagi jemaah umrah individu dari luar Arab Saudi.

"Kini, visa umrah akan dikeluarkan dalam tempoh 24 jam. Permohonan visa umrah boleh dikemukakan dari luar Arab Saudi," katanya menurut laporan Saudi Gazette.

Tawfiq berkata, Wawasan 2030 Arab Saudi antara lain bermatlamat memudahkan penerimaan bilangan jemaah umrah yang lebih ramai.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, seramai sejuta jemaah bakal menunaikan ibadah haji di Tanah Suci, tahun ini, meliputi 850,000 (85 peratus) jemaah asing serta 150,000 (15 peratus) jemaah domestik.

Beliau berkata, kementeriannya dan agensi berkaitan yang lain bersiap siaga untuk memastikan aspek kesihatan jemaah haji terbabit.

"Kad Pintar Haji juga akan dilaksanakan, tahun ini," katanya sambil menjelaskan penggunaan teknologi digital bakal membantu lagi kelancaran urusan ibadah berkenaan.

Sementara itu di Jeddah, kementerian berkenaan turut mengumumkan, pendaftaran jemaah domestik untuk ibadah haji tahun ini, bermula hari ini hingga 11 Jun depan.

Bagi menunaikan ibadah haji tahun ini, rakyat dan penduduk di Arab Saudi yang berumur bawah 65 tahun dikehendaki lengkap tiga dos vaksin COVID-19.

Arab Saudi menetapkan takrifan golongan sudah diimunisasi adalah mereka yang menerima tiga dos vaksin berkenaan.

Selain itu, kementerian mengarahkan semua jemaah mesti mematuhi arahan kesihatan dan langkah ditetapkan bagi menjaga kesihatan serta keselamatan mereka ketika menunaikan ibadah haji. - AGENSI

Berita Harian X