Jumaat, 27 Mei 2022 | 5:01pm
Latihan akan diadakan kurang daripada 25km dari pantai wilayah Hainan di selatan China.- Foto Facebook/@ThePLANavy
Latihan akan diadakan kurang daripada 25km dari pantai wilayah Hainan di selatan China.- Foto Facebook/@ThePLANavy

China merancang latihan ketenteraan baharu di Laut China Selatan

BEIJING: China akan mengadakan latihan tentera laut di Laut China Selatan bermula esok, seminggu selepas kuasa Barat menuduhnya atas usaha ketenteraannya untuk mengubah kuasa keseimbangan terhadap seluruh rantau Pasifik.

Latihan yang dijadualkan berlangsung di laut kurang daripada 25 kilometer (km) di luar pantai wilayah Hainan di selatan China, dilakukan ketika Amerika Syarikat (AS) memberi amaran mengenai kehadiran ketenteraan dan ekonomi China yang semakin meningkat di kawasan yang merangkumi Laut China Selatan ke Kepulauan Pasifik.

"Latihan ketenteraan akan diadakan dan kemasukan adalah dilarang," kata pentadbiran Keselamatan Maritim dalam satu kenyataan semalam, sekali gus memberi amaran bahawa kawasan seluas kira-kira 100km persegi akan ditutup kepada lalu lintas maritim selama lima jam.

China secara rutin menjalankan latihan serupa di perairan berhampiran pantainya, latihan di kawasan lain laut berhampiran Hainan dijadualkan minggu depan dan beberapa latihan lain di sepanjang pantai timur negara itu.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, menuduh Beijing meningkatkan ketegangan ke atas Taiwan, yang didakwa China sebagai sebahagian daripada wilayahnya.

"Beijing terbabit secara retorik dan aktiviti yang semakin provokatif seperti menerbangkan pesawat Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) berhampiran Taiwan hampir setiap hari," katanya yang merujuk PLA.

Justeru, beliau menggesa usaha untuk mengimbangi "niat China untuk membentuk semula susunan antarabangsa".

Namun, China berikrar untuk mempertahankan kepentingan nasionalnya ke atas Taiwan, memberi amaran kepada Washington supaya tidak memandang rendah ketegasan dan keupayaan Beijing dalam isu itu.

Sementara itu, kerajaan termasuk Australia dan New Zealand tampil menyatakan mengenai dokumen bocor yang kelihatan menunjukkan rancangan untuk membina kerjasama keselamatan yang luas antara China dan Kepulauan Pasifik.

Namun, China berkata kerjasamanya dengan negara-negara Pulau Pasifik tidak menyasarkan mana-mana negara dan menolak dakwaan bahawa ia menekan negara-negara kecil ke dalam perjanjian keselamatan. - AFP

Berita Harian X