Rabu, 25 Mei 2022 | 3:38pm
Orang ramai menonton skrin televisyen yang menunjukkan siaran berita dengan rakaman fail ujian peluru berpandu Korea Utara, di stesen kereta api di Seoul pada 25 Mei 2022. - Foto AFP
Orang ramai menonton skrin televisyen yang menunjukkan siaran berita dengan rakaman fail ujian peluru berpandu Korea Utara, di stesen kereta api di Seoul pada 25 Mei 2022. - Foto AFP

AS kecam pelancaran peluru berpandu Korea Utara

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengecam tindakan Korea Utara melancarkan tiga peluru berpandu balistiknya dan menggesa supaya Pyongyang memilih jalan berdialog.

"AS mengecam pelbagai pelancaran peluru berpandu balistik oleh Korea Utara," kata jurucakap Jabatan Negara malam tadi.

"Kami menyeru Korea Utara untuk mengelak daripada meneruskan provokasi dan membabitkan diri dalam dialog yang berterusan dan substantif," katanya.

Reaksi terbaru itu hadir selepas amaran awam oleh AS sebelum ini bahawa Korea Utara berkemungkinan menguji peluru berpandu atau bom nuklearnya di tengah-tengah lawatan Presiden Joe Biden ke Korea Selatan dan Jepun, yang sudah pun berakhir.

Jurucakap Jabatan Negara itu berkata, pelancaran senjata berkenaan melanggar beberapa resolusi di bawah Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ancaman kepada rantau ini.

Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan, juga mengecam pelancaran itu menerusi panggilan telefon kepada rakan sejawatannya dari Korea Selatan, Kim Sung-han, selepas kembali ke Washington bersama Biden.

"Mereka berdua mengecam ujian peluru berpandu balistik Korea Utara disamping terus komited untuk membina koordinasi rapat antara mereka," kata satu kenyataan dikeluarkan Rumah Putih.

Rumah Putih berkata, terdapat tiga pelancaran peluru berpandu, dengan Korea Selatan turut mengesyaki salah satunya adalah peluru berpandu balistik antara benua.

Pentadbiran Biden sudah berulang kali menggesa dialog dengan Korea Utara, mungkin di peringkat diplomat tertinggi, namun tidak melihat sebarang maklum balas yang positif.

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un mengadakan tiga pertemuan dengan pendahulu Biden, Donald Trump, namun gagal mencapai persetujuan yang berterusan.

Biarpun belum keras dalam mengecam Korea Utara secara terbuka, AS sudah bertindak mengetatkan sekatan melalui Majlis Keselamatan PBB, biarpun diplomat memberitahu, China dan Russia bersedia untuk menghalang sebarang tindakan. - AFP

Berita Harian X