Isnin, 16 Mei 2022 | 5:00pm
Pakar bedah bergambar kumpulan selepas kejayaan pembedahan memisahkan kembar Yaman, Aisha di Hospital Kanak-Kanak Pakar Raja Abdullah, Riyadh pada 28 Julai 2021. - Foto AFP
Pakar bedah bergambar kumpulan selepas kejayaan pembedahan memisahkan kembar Yaman, Aisha di Hospital Kanak-Kanak Pakar Raja Abdullah, Riyadh pada 28 Julai 2021. - Foto AFP

Doktor Arab Saudi pisahkan pasangan kembar Siam Yaman

RIYADH: Doktor di Arab Saudi berjaya memisahkan kembar Siam yang berasal dari Yaman selepas proses pembedahan yang 'rumit' selama 15 jam.

Pasangan kembar lelaki itu, Yussef dan Yassin memiliki beberapa organ yang bercantum, dengan kira-kira 24 doktor terbabit dalam pembedahan untuk memisahkan mereka, lapor Agensi Media Saudi (SPA), hari ini.

Menurut SPA, pakar perubatan daripada Pusat Bantuan Kemanusiaan dan Pertolongan Raja Salman (KSRelief) bertanggungjawab melaksanakan pembedahan empat fasa itu bagi memisahkan Yussef dan Yassin, disifatkan sebagai paling rumit pernah mereka laksanakan.

KSRelief yang diuruskan kerajaan Arab Saudi, kerap memaklumkan mengenai bantuan kemanusiaannya ke Yaman, sebagai bukti komitmen Riyadh untuk meringankan kesengsaraan di negara itu.

Yaman dilanda konflik sejak tujuh tahun lalu selepas ia menjadi medan perang antara kerajaan yang disokong Arab Saudi dengan pemberontak Houthi yang disokong Iran.

Ibu negara Yaman, Sanaa ditawan Houthi pada 2014, sebelum pasukan gabungan tentera diketuai Arab Saudi campur tangan dalam konflik negara itu.

Lebih 150,000 individu terkorban dalam keganasan itu yang memusnahkan sistem kesihatan Yaman, yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai krisis kemanusiaan terburuk di dunia.

Julai tahun lalu, beberapa doktor memisahkan pasangan bayi kembar parasit dari Yaman, yang ketika itu adalah kejayaan pembedahan ke-50 mereka membabitkan kembar Siam.

Disember tahun lalu, sepasang kembar Yaman dipisahkan oleh beberapa doktor di Amman, Jordan, sebelum kembali diterbangkan ke Sanaa, menurut agensi kanak-kanak PBB.

Minggu lalu, Raja Salman mengarahkan satu lagi pasangan kembar Siam perempuan dari Yaman, Mawaddah dan Rahmah, dipindahkan ke Riyadh untuk menjalani pemeriksaan perubatan dan meneliti kemungkinan dipisahkan, lapor SPA. - AFP

Berita Harian X