Khamis, 12 Mei 2022 | 9:25am
Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa. - Foto AGENSI
Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa. - Foto AGENSI

Presiden Sri Lanka ikrar sekat kuasa sendiri

COLOMBO: Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa, semalam berikrar untuk melepaskan sebahagian besar kuasa eksekutifnya, namun tidak akan tunduk kepada tuntutan terhadap peletakan jawatannya berikutan krisis ekonomi negara itu.

Dalam ucapan pertama kepada negara sejak bermulanya protes selama sebulan yang menggesanya meletak jawatan, pemimpin berusia 72 tahun itu, berkata beliau akan mengumumkan kerajaan perpaduan dalam tempoh beberapa hari lagi.

"Saya akan menamakan seorang Perdana Menteri yang akan mempunyai majoriti di Parlimen dan keyakinan rakyat," kata Gotabaya dalam ucapannya di televisyen.

Beliau tidak menamakan pengganti abangnya, Mahinda Rajapaksa, yang meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada Isnin lalu, bagi membuka jalan pembentukan kabinet baharu.

"Saya akan berusaha untuk memberikan lebih banyak kuasa kepada Parlimen dan mengaktifkan elemen utama pindaan ke-19 kepada perlembagaan," katanya merujuk kepada reformasi demokrasi yang ditarik beliau sejurus selepas pilihan raya 2019.

Ikrar Gotabaya untuk mengembalikan semula pindaan itu akan melucutkan kuasanya untuk mengawal pelantikan kanan dalam perkhidmatan awam, polis, pejabat pilihan raya dan badan kehakiman.

Sri Lanka menderita selama berbulan-bulan akibat terputus bekalan elektrik yang berterusan dan kekurangan makanan, bahan api serta barangan penting lain selepas kehabisan pertukaran asing untuk membayar import. - AFP

Berita Harian X