Ahad, 1 Mei 2022 | 6:57pm
Ketua Menteri Assam, Himanta Biswa Sarma berkata beliau menggemari kod sivil seragam sebagai cara untuk menamatkan undang-undang berasaskan agama. - Foto FACEBOOK
Ketua Menteri Assam, Himanta Biswa Sarma berkata beliau menggemari kod sivil seragam sebagai cara untuk menamatkan undang-undang berasaskan agama. - Foto FACEBOOK

Ketua Menteri India gesa undang-undang berasas agama diganti

GUWAHATI: Seorang ketua negeri di India menggesa negara itu menggantikan undang-undang perkahwinan dan pewarisan yang berlandaskan agama, dengan memperkenalkan kanun sivil yang seragam.

Kenyataan itu dilihat menyasarkan undang-undang yang antara lain membenarkan lelaki Islam untuk memiliki empat isteri.

Beberapa kerajaan yang mentadbir India mengelak untuk menggubal kanun sivil seumpamanya kerana bimbang mengundang kemarahan pengundi majoriti Hindu serta minoriti Islam dan Kristian.

Bagaimanapun, ahli parti nasionalis Hindu pimpinan Perdana Menteri India, Narendra Modi dan sekutunya, mahu kanun sivil itu dilaksanakan di negeri tertentu untuk menilai kekuatan tindak balas yang bakal dihadapi, sebelum dilaksanakan di peringkat nasional.

Ketua Menteri Assam yang juga pemimpin kanan Parti Bharatiya Janata (BJP), Himanta Biswa Sarma, mendakwa majoriti orang Islam yang ditemuinya mahukan kanun sivil yang seragam digubal.

"Tiada wanita Islam yang mahukan suaminya berkahwin tiga hingga empat. Tanyalah mana-mana wanita Islam dan mereka akan mengesahkan kenyataan saya," katanya.

Populasi Assam merangkumi 34 juta penduduk, dengan 30 peratus daripadanya adalah komuniti beragama Islam.

Kanun sivil itu, yang bertujuan menyeragam dan menguatkuasakan perundangan peribadi, akan berkuat kuasa terhadap semua penduduk, tanpa mengira agama, jantina dan orientasi seksual.

Hal ehwal perundangan membabitkan perkahwinan, perceraian dan pewarisan harta di India kini ditadbir oleh undang-undang agama yang berbeza-beza.

Sarma mengakui lebih cenderung terhadap kanun sivil itu untuk menamatkan peraturan berasaskan agama yang regresif, dan memperkasa wanita Islam yang berdepan kesukaran mencabar poligami di mahkamah.

Bagaimanapun, pengkritik melihat kanun berkenaan yang tersenarai dalam beberapa manifesto pilihan raya BJP, sebagai sebahagian usaha menggerakkan agenda tertentu dan memperkukuh sentimen anti-Islam. - REUTERS

Berita Harian X