Ahad, 1 Mei 2022 | 8:30am
Mangsa yang cedera dalam letupan bom di masjid Kabul ketika solat Jumaat baru-baru ini dilihat meninggalkan lokasi serangan. - Foto EPA
Mangsa yang cedera dalam letupan bom di masjid Kabul ketika solat Jumaat baru-baru ini dilihat meninggalkan lokasi serangan. - Foto EPA

PBB kutuk serangan bom ke atas masjid di Afghanistan

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, semalam mengutuk serangan bom di ibu negara Afghanistan yang memusnahkan sebuah masjid serta mengorbankan sekurang-kurangnya 10 jemaah.

"Setiausaha Agung PBB mengutuk sekeras-kerasnya serangan maut Jumaat lalu ke atas Masjid Khalifa Sahib di barat Afghanistan, Kabul ketika jemaahnya sedang menunaikan solat.

"Beliau mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan mereka yang cedera cepat sembuh.

"Serangan terhadap orang awam dan kemudahan awam termasuk masjid dilarang sama sekali di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa," kata jurucakap Guterres dalam satu kenyataan.

Letupan bom itu disasarkan terhadap anggota masyarakat minoriti sufi yang sedang menyertai upacara keagamaan selepas selesai solat Jumaat, kata seorang pegawai.

Rakaman imej mengerikan menunjukkan letupan itu bertebaran di media sosial, memperlihatkan mangsa yang terselamat berlari keluar dari masjid dengan beberapa daripada mereka bergegas membawa keluar kanak-kanak.

Tompokan darah jelas kelihatan di lantai perkarangan masjid.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Abdul Nafi Takor, memaklumkan sekurang-kurangnya 10 jemaah terbunuh sementara menurut polis Kabul, 30 lagi dilaporkan cedera.

Pengeboman itu siri adalah serangan terbaru yang menggegarkan Afghanistan ketika bulan Ramadan.

Sepanjang Ramadan ini, puluhan orang awam terbunuh dalam serangan menyasarkan golongan Syiah dan Sufi, sebahagian besarnya diakui dilakukan oleh Daesh.

Letupan pada Jumaat lalu berlaku sehari selepas dua siri letupan bom berasingan menyasarkan bas mini mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang di bandar utara Mazar-i-Sharif, ketika penumpang pengikut Syiah pulang ke kediaman untuk berbuka puasa.

Sementara itu, serangan bom di masjid Syiah di Mazar-i-Sharif seminggu lalu membunuh sekurang-kurangnya 12 jemaah dan mengakibatkan ramai yang cedera.

Ia adalah letupan kedua di ibu negara Afghanistan dalam masa dua hari, meningkatkan lagi kebimbangan keselamatan menjelang perayaan Aidilfitri.

Pada minggu sebelumnya, satu letupan mengorbankan lebih 50 jemaah selepas solat Jumaat di masjid Kabul, juga didakwa dilakukan oleh kumpulan Daesh. - AFP

Misi Amerika Syarikat (AS) dan PBB ke Afghanistan mengecam peningkatan serangan ganas dalam beberapa minggu kebelakangan ini yang menyasarkan golongan minoriti.

Mereka berkata sekurang-kurangnya dua kakitangan PBB dan keluarga mereka berada di masjid ketika serangan.

"Tiada perkataan yang cukup kuat untuk mengecam perbuatan keji ini," kata Timbalan Wakil Khas Setiausaha Agung PBB untuk Afghanistan, Mette Knudsen.

Jurucakap kerajaan Taliban, Zabihullah Mujahid, mengeluarkan kenyataan mengutuk serangan itu dan memberi jaminan dalang akan diburu serta dihukum. - REUTERS

Berita Harian X