Jumaat, 29 April 2022 | 8:06am
 Letupan bom di lokasi berasingan di Mazar-i-Sharif membabitkan penumpang bas mini mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan nyawa. - Foto AGENSI
Letupan bom di lokasi berasingan di Mazar-i-Sharif membabitkan penumpang bas mini mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan nyawa. - Foto AGENSI

Letupan bas mini di Afghanistan ragut sembilan nyawa

KABUL: Dua letupan bom berasingan membabitkan bas mini di Mazar-i-Sharif mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan individu pada Khamis.

Serangan keganasan membabitkan orang awam mencatatkan penurunan sejak Taliban kembali berkuasa pada Ogos lalu, namun kumpulan pelampau terus menyasarkan kelompok Syiah, yang dianggap sebagai mengamalkan perkara bidaah.

Letupan itu berlaku selang beberapa minit membabitkan daerah berbeza di Mazar-i-Sharif ketika penumpang dalam perjalanan menuju ke rumah untuk berbuka puasa, kata jurucakap polis wilayah Balkh, Asif Waziri kepada AFP.

"Sasaran serangan ini kelihatannya adalah penumpang Syiah.

"Musuh Afghanistan sedang mewujudkan ketegangan dan perpecahan dalam kalangan rakyat," katanya yang turut memberitahu kira-kira 13 orang cedera dalam letupan itu.

Letupan itu berlaku hanya selang beberapa hari selepas serangan bom yang turut meragut nyawa di sebuah masjid Syiah di Mazar-i-Sharif mengakibatkan sekurang-kurangnya 12 jemaah terkorban, manakala ramai lagi jemaah cedera.

Serangan bom berasingan di masjid lain di bandar Kunduz, utara Afghanistan minggu lalu menyasarkan komuniti minoriti Sufi dan mengorbankan sekurang-kurangnya 36 individu ketika solat Jumaat.

Dalam serangan lain yang turut menyasarkan golongan Syiah, dua bom meletup di sebuah sekolah di Kabul mengakibatkan enam pelajar terbunuh.

Pengganas DAESH dikaitkan dengan serangan di masjid dekat Mazar-i-Sharif, bagaimanapun setakat ini tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab ke atas pengeboman di Kunduz.

Untuk rekod, komuniti Syiah di Afghanistan dengan kebanyakannya daripada komuniti Hazara mewakili sekitar 10 dan 20 peratus populasi keseluruhan di negara itu yang dihuni 38 juta penduduk.

Cawangan serantau DAESH di Afghanistan yang majoritinya Sunni berulang kali menyasarkan Syiah dan kelompok minoriti seperti Sufi. - AFP

Berita Harian X