Khamis, 21 April 2022 | 11:04am
Pihak berkuasa Arab Saudi mengesahkan umat Islam yang memperoleh visa menunaikan umrah dan haji dibenarkan untuk bergerak ke semua bandar di negara itu. - Foto AGENSI
Pihak berkuasa Arab Saudi mengesahkan umat Islam yang memperoleh visa menunaikan umrah dan haji dibenarkan untuk bergerak ke semua bandar di negara itu. - Foto AGENSI

Pemegang visa umrah, haji bebas di semua bandar Arab Saudi

JEDDAH: Pihak berkuasa Arab Saudi mengesahkan umat Islam yang memperoleh visa menunaikan umrah atau haji dibenarkan untuk bergerak ke semua bandar di negara itu.

Kementerian Haji dan Umrah, berkata tempoh penginapan jemaah dengan visa umrah adalah selama 30 hari dan dalam tempoh itu mereka bebas bergerak antara kota suci Makkah dan Madinah serta merentasi semua bandar negara itu.

Pihak berkuasa Arab Saudi baru-baru ini melonggarkan beberapa peraturan kepada jemaah yang menunaikan umrah berikutan sekatan pergerakan dikuatkuasakan bagi mengekang jangkitan COVID-19.

Antara peraturan yang sudah ditarik balik Kementerian Haji dan Umrah adalah pembatalan permit solat di Masjidil Haram di Makkah dan kebenaran melawat Masjid Nabawi di Madinah.

Kementerian itu juga berkata, pemeriksaan imunisasi untuk memasuki kedua-dua masjid juga sudah dibatalkan untuk semua jemaah.

Selain itu, kementerian membatalkan pendaftaran data imunisasi yang pernah diwajibkan bagi umat Islam warga asing mendapatkan permit umrah. - AGENSI

Berita Harian X