Selasa, 12 April 2022 | 11:38am
Umat Islam Sri Lanka yang menyertai protes menggesa penyingkiran keluarga Rajapaksa daripada memerintah negara itu dilihat berbuka puasa bersama penunjuk perasan lain di pintu masuk pejabat presiden di Colombo. - Foto AFP
Umat Islam Sri Lanka yang menyertai protes menggesa penyingkiran keluarga Rajapaksa daripada memerintah negara itu dilihat berbuka puasa bersama penunjuk perasan lain di pintu masuk pejabat presiden di Colombo. - Foto AFP

PM Sri Lanka rayu penunjuk perasaan 'bersabar'

COLOMBO: Perdana Menteri Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa, merayu ribuan penunjuk perasaan membantah pemerintahan keluarganya yang dituduh menyebabkan negara itu hampir muflis, supaya 'bersabar'.

Semalam, ribuan penunjuk perasaan berkumpul di jalanan bagi membantah dan meluahkan kemarahan terhadap krisis ekonomi negara itu yang semakin meruncing.

Seramai 22 juta penduduk Sri Lanka mengalami kekurangan bekalan makanan, minyak dan keperluan perubatan selain turut berdepan ketiadaan bekalan elektrik selama beberapa minggu dalam kemelut kemelesetan ekonomi terburuk yang dialami sejak mencapai kemerdekaan pada 1948.

Penunjuk perasaan di Colombo dan seluruh kepulauan itu berkumpul setiap hari sejak Sabtu lalu bagi menggesa penyingkiran Presiden Gotabaya Rajapaksa, yang juga adik lelaki Mahinda.

Dalam ucapan pertamanya sejak bermula krisis berkenaan, Mahinda selaku ketua keluarga Rajapaksa yang sangat berkuasa dalam politik Sri Lanka selama dua dekad, berkata beliau memerlukan lebih masa untuk menyelesaikan masalah negara itu,

"Walaupun kita tidak dapat menghentikan krisis dalam dua atau tiga hari, kita akan menyelesaikan masalah ini secepat mungkin.

"Setiap minit anda melakukan tunjuk perasaan di jalanan, kita kehilangan peluang meraih pendapatan untuk negara. Ingatlah, negara memerlukan kesabaran anda dalam saat kritikal ini," katanya.

Sejak beberapa hari lalu, tekanan terhadap keluarga Rajapaksa semakin memuncak apabila komuniti perniagaan penting turut menarik balik sokongan mereka dan mendesak Gotabaya dan Mahinda meletak jawatan.

Mahinda bagaimanapun tidak menyentuh secara langsung gesaan terhadap beliau dan Gotabaya meletakkan jawatan, namun mempertahankan pentadbirannya dengan menyatakan parti pembangkang menolak tawaran untuk mewujudkan kerajaan gabungan.

"Kami mengajak semua pihak untuk tampil dan menyahut cabaran ini, namun mereka tidak berbuat demikian, jadi kami akan melakukannya sendiri," katanya.

Sementara itu, pakar berkata krisis negara itu diburukkan lagi oleh salah tadbir kerajaan dan pinjaman terkumpul selama bertahun-tahun selain pemotong cukai yang tidak perlu.

Sekatan dan pemberhentian akibat COVID-19 turut menjejaskan ekonomi penting Sri Lanka yang sebahagian besarnya didorong oleh pelancongan.

Kerajaan sedang bersedia untuk mengadakan rundingan keluar dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) minggu ini ketika tunjuk perasaan terus memuncak dan semakin ramai bangkit menentang keluarga Rajapaksa.

Pegawai Kementerian Kewangan berkata beberapa pemegang bon berdaulat dan pemiutang mungkin terpaksa bersedia untuk pengurangan bayaran balik.

Sri Lanka mengharapkan bantuan AS$3 bilion (RM12.7 bilion) daripada IMF bagi membantu mengimbangi baki bayaran hutang untuk tempoh tiga tahun akan datang. - AFP

Berita Harian X