Sabtu, 9 April 2022 | 5:57pm
Presiden Rodrigo Duterte dan Presiden Xi Jinping berjabat tangan sebelum mesyuarat dua hala mereka di Dewan Besar Rakyat di Beijing sebelum ini. - Foto REUTERS
Presiden Rodrigo Duterte dan Presiden Xi Jinping berjabat tangan sebelum mesyuarat dua hala mereka di Dewan Besar Rakyat di Beijing sebelum ini. - Foto REUTERS

Duterte, Jinping 'kawal diri' bagi keamanan Laut China Selatan

MANILA: Rodrigo Duterte dan Presiden China, Xi Jinping menekankan keperluan untuk menahan diri bagi mengekalkan keamanan di Laut China Selatan, kata pejabat Presiden Filipina hari ini.

Kedua-dua pemimpin itu mengadakan sidang kemuncak menerusi telefon selama sejam semalam, membincangkan pelbagai topik termasuk kebimbangan mengenai krisis Ukraine dan tindak balas pandemik COVID-19.

"Kedua-dua pemimpin menekankan keperluan untuk melakukan semua usaha bagi mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di Laut China Selatan.

"Ia perlu dilakukan dengan mengekang diri, menghilangkan ketegangan dan mengusahakan rangka kerja yang dipersetujui bersama untuk kerjasama yang berhasil," kata Pejabat Presiden dalam satu kenyataan.

Menurut Pejabat Presiden, kedua-dua pihak komited untuk meluaskan lagi ruang bagi pembabitan positif walaupun wujudnya pertikaian.

Sejak mengambilalih pentadbiran pada 2016, Duterte meneruskan hubungan yang lebih erat dengan Beijing, mengetepikan pertikaian wilayah yang berpanjangan di Laut China Selatan sebagai pertukaran ikrar bagi berbilion dolar bantuan, pinjaman dan ikrar pelaburan.

Kedua-dua presiden juga bercakap mengenai kepentingan meneruskan perbincangan dan memuktamadkan tatakelakuan di Laut China Selatan.

Keputusan mahkamah antarabangsa di Hague pada 2016 membatalkan tuntutan menyeluruh China terhadap laluan perairan di Laut China Selatan yang nilai perdagangan kapal kira-kira AS$3 trilion (RM12.7 trilion) setiap tahun. 

Kes itu kemudiannya dibawa ke tribunal oleh Manila.

Mac lalu, Filipina memfailkan bantahan diplomatik ke atas kapal pengawal pantai China yang terbabit dalam operasi jarak dekat yang meningkatkan risiko perlanggaran di laluan air yang dipertikaikan.

Menurut Pejabat Presiden, Duterte dan Jinping memperbaharui gesaan untuk penyelesaian aman situasi di Ukraine menerusi dialog, dan berjanji untuk bekerjasama dalam menangani kesan perubahan iklim.

Duterte, 77, akan menamatkan sepenggal pentadbirannya selama enam tahun pada Jun. - REUTERS

Berita Harian X