SYDNEY: Keseluruhan pantai negeri yang paling padat di Australia diminta bersiap sedia menghadapi ombak tinggi dan angin kencang hari ini.
Ia selepas sistem bertekanan rendah yang sebelum ini menyebabkan seluruh bandar ditenggelami air mula berpindah ke kawasan pesisir pantai.
Menurut pegawai kanan Biro Meteorologi, Dean Narramore, walaupun banjir sudah mulai surut, namun masih terdapat 20 arahan pemindahan membabitkan kira-kira 30,000 orang.
Antara kawasan yang terjejas teruk akibat banjir adalah di sekitar Sungai Wilsons yang memuncak pada 11.4 meter (m), iaitu 12m lebih rendah berbanding ramalan pihak berkuasa.
"Kita sedang beralih kepada ancaman angin dan ombak yang memusnahkan," menurut Narramore.
"Kebimbangan utama adalah air pasang yang luar biasa dan juga hakisan pantai... selain banjir di kawasan rendah, terutamanya untuk bangunan di pesisir pantai.
"Setakat ini, dua orang sudah disahkan meninggal dunia dalam keadaan cuaca semasa, manakala polis memaklumkan mereka sedang mencari mangsa ketiga iaitu seorang wanita yang dipercayai hilang dalam banjir di Lismore.
"Kami sedang berkumpul semula dan beralih ke arah usaha pemulihan ketika banjir mula surut," menurut Menteri Perkhidmatan Kecemasan New South Wales, Steph Cooke.
"Cuaca ini akan mula menyusuri pantai timur dan kita akan melihat komuniti lain pula yang terjejas. - REUTERS