SEOUL: Korea Utara mungkin mempunyai lebih banyak simpanan, selepas berjaya menguji peluru berpandu balistik di antara benua terbesarnya, kata seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) semalam.
Pada masa sama, Washington cuba menggesa sekatan antarabangsa lebih keras di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kelmarin ialah pelancaran pertama Pyongyang menembak peluru berpandu paling berkuasa Kim Jong Un sejak 2017.
Pembangunan senjata itu dijalankan di bawah pemantauan rapat Jong Un dan memastikan republiknya bersedia bagi konfrontasi lama dengan AS, lapor media kerajaan KCNA semalam.
"Kami melihat ini sebagai sebahagian daripada corak ujian dan provokasi dari Korea Utara. Kemungkinan ada lebih banyak lagi," kata Penasihat Keselamatan Negara Rumah Putih, Jake Sullivan kepada pemberita yang menaiki Air Force One bersama Presiden Joe Biden.
Peluru berpandu itu dilihat bergerak lebih tinggi dan lebih jauh berbanding mana-mana ICBM diuji negara bersenjata nuklear itu, sebelum ini, termasuk satu yang direka untuk menyerang tanah besar AS.
Merujuk pelancaran Korea Utara baru-baru ini sebagai provokasi semakin berbahaya, AS semalam, menggesa resolusi mengemas kini dan mengukuhkan rejim sekatan, terhadap Pyongyang di Majlis Keselamatan PBB.
Duta Besar AS ke PBB, Linda Thomas-Greenfield, berkata ia susulan sekatan dilaksanakan selepas ujian terakhir Korea Utara, apabila majlis itu menjanjikan tindakan lanjut bagi pelancaran masa akan datang.
"Inilah yang berlaku. Kini tiba masa untuk mengambil tindakan," katanya.
Kumpulan tujuh negara dan Kesatuan Eropah dalam kenyataan bersama mendakwa tindakan terkini Pyongyang sebagai pelanggaran jelas terhadap kewajipan resolusi Majlis Keselamatan PBB, selain mengutuk tindakan melulu republik itu.
Dikenali sebagai Hwasong-17, ICBM gergasi itu mula diperkenal pada Oktober 2020 dan digelar sebagai peluru berpandu raksasa oleh penganalisis. - AFP