Selasa, 22 March 2022 | 5:29pm
Korea Utara digesa bongkar penjara politik. - Foto AGENSI
Korea Utara digesa bongkar penjara politik. - Foto AGENSI

Pakar PBB gesa Korea Utara bongkar penjara politik

GENEVA: Seorang pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini menggesa Korea Utara supaya membebaskan puluhan ribu orang yang dipercayai merengkuk di kem penjara politik.

Tomas Ojea Quintana menggesa kuasa serantau dan dunia untuk membangkitkan isu sedemikian kepada Pyongyang, seiring kebimbangan terhadap isu nuklear.

Katanya, daripada penyiasatan penting PBB pada 2014 mendapati ada sehingga 120,000 orang ditahan di kem itu dan sehingga kini beliau terus menerima dakwaan mengenainya.

"Saya difahamkan sistem atau rejim politik di Korea Utara, tidak akan bertahan tanpa kewujudan kem penjara politik," katanya pada taklimat media sambil menyatakan memang terdapat pengampunan sekali-sekala untuk banduan.

Namun katanya, beliau benar-benar menggesa kepimpinan untuk terus membebaskan banduan, terutama mereka yang paling mudah terdedah sambil meminta supaya fungsi penjara itu segera dibongkar.

Katanya, sistem 'kwanliso' atau kem penjara politik Korea Utara, adalah jenayah terhadap kemanusiaan iaitu satu pertuduhan yang sudah ditolak Pyongyang dan menggesa pelakunya menghadapi keadilan.

Namun, Korea Utara berulang kali menafikan kewujudan kem penjara politik serta tidak mengambil bahagian dalam perbahasan itu.

Negara itu juga sebelum ini menuduh kuasa Barat menggunakan kritikan terhadap hak asasi manusia sebagai sebahagian daripada dasar bermusuhan terhadapnya.

"Pihak berkuasa di Korea Utara perlu tahu mereka lambat laun perlu bertindak balas terhadap jenayah yang dilakukan.

"Di beberapa kem tahanan politik, penjara digunakan untuk buruh paksa di lombong arang batu dan jenis lombong yang lain," katanya.

Terdahulu, ketika berucap di Majlis Hak Asasi Manusia, Ojea Quintana menggesa Korea Utara membuka semula sempadannya untuk membantu pekerja serta mengimport makanan, dengan mengatakan pengasingan yang lebih lanjut semasa pandemik COVID-19 mungkin menyebabkan ramai mengalami 'kebuluran dan kelaparan'.

"Kira-kira 40 peratus penduduknya kekurangan bekalan makanan yang mencukupi.

"Dengan keadaan negara masih dalam belenggu langkah COVID-19 yang ketat, ada kebimbangan serius mengenai segmen penduduk paling terdedah mungkin menghadapi kebuluran makanan," katanya.

"Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK) tidak melaporkan sebarang kes COVID-19, namun tetap mengenakan langkah antivirus yang ketat sejak bermulanya wabak dua tahun lalu, termasuk penutupan sempadan dan sekatan perjalanan domestik.

Sebahagian besar agensi bantuan asing dan kedutaan meninggalkan negara itu selepas pelaksanaan sekatan ketat yang menyukarkan mereka mengekalkan kehadirannya di sana.

"Kami tetap sangat prihatin mengenai pelanggaran hak asasi manusia yang sistematik dan meluas DPRK, termasuk penyeksaan, perhambaan, dan pemenjaraan yang dilakukan dengan sewenang-wenangnya," kata diplomat Amerika Syarikat (AS), Daniel Murphy, pada majlis itu.

Korea Utara tidak mengiktiraf mandat Ojea Quintana sebagai pelapor khas PBB untuk hak asasi manusia di DPRK.

Terdahulu, Korea Utara melancarkan pelancar roket berbilang jarak Ahad lalu, kata tentera Korea Selatan, di tengah-tengah ketegangan tentera yang semakin memuncak di semenanjung Korea selepas siri pelancaran peluru berpandu yang lebih besar oleh Korea Utara yang memiliki senjata nuklear. - REUTERS

Berita Harian X