Selasa, 22 March 2022 | 2:13pm
Pekerja memakai pakaian perlindungan diri (PPE) bertugas di stesen kereta api di Shanghai, China, antara negara yang mencatatkan peningkatan ketara kes COVID-19. - Foto REUTERS
Pekerja memakai pakaian perlindungan diri (PPE) bertugas di stesen kereta api di Shanghai, China, antara negara yang mencatatkan peningkatan ketara kes COVID-19. - Foto REUTERS

Jangkitan COVID-19 meningkat di Eropah

PARIS: Jangkitan COVID-19 sekali lagi melonjak di Eropah Barat disebabkan kerajaan menarik balik sekatan, imuniti yang berkurangan dan subvarian BA.2 Omicron yang pantas lebih menular, menurut pakar.

Selepas lebih sebulan penurunan kes di kebanyakan benua, negara-negara seperti Britain, Perancis, Jerman dan Itali menyaksikan kebangkitan semula jangkitan secara drastik sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Di Perancis, kes meningkat lebih satu pertiga dalam seminggu sejak kerajaan menamatkan kebanyakan sekatan, manakala di Jerman, walaupun terdapat rekod harian baharu hampir 300,000 jangkitan, kerajaan membenarkan sekatan coronavirus ditamatkan pada hujung minggu ini.

Di Itali, kerajaan mengumumkan akan menghapuskan hampir semua sekatan menjelang 1 Mei walaupun kes semakin meningkat, sementara di Britain, kerajaan menghapuskan sekatan perjalanan antarabangsa bermula Jumaat ini.

Berbanding Austria, ia akan mengenakan semula peraturan yang memerlukan topeng muka FFP2, hanya beberapa minggu selepas tindakan itu ditarik balik.

Walaupun sesetengah pihak menyalahkan kerajaan kerana melonggarkan sekatan terlalu cepat, ahli epidemiologi turut menyatakan sub BA.2 varian Omicron yang kini dominan di banyak negara turut menjadi punca peningkatan kes.

Kadangkala dipanggil 'stealth Omicron' kerana lebih sukar dikesan, BA.2 dianggarkan kira-kira 30 peratus lebih menular daripada BA.1 sebelum ini.

Pakar virologi di Universiti Warwick di Britain, Lawrence Young, berkata peningkatan kes di Eropah adalah disebabkan gabungan tiga faktor iaitu penarikan sekatan, penurunan imuniti selepas vaksinasi dan BA.2.

Dalam usaha untuk meningkatkan imuniti yang semakin berkurangan, beberapa negara seperti Perancis mula melancarkan dos vaksin keempat.

Di England, Perkhidmatan Kesihatan Negara berkata, suntikan penggalak keempat akan disediakan untuk penjaga penghuni rumah warga tua, individu berusia lebih 75 tahun dan mereka yang sistem imun tertekan.

Bagaimanapun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa varian baharu lebih berkemungkinan akan terus muncul jika negara kaya masih hanya mementingkan diri sebelum berkongsi vaksin dengan negara yang belum menerima dos pertama mereka. - AFP

Berita Harian X