Ahad, 20 March 2022 | 7:52pm
Seorang maut dan berpuluh-puluh lagi dipercayai hilang selepas sebuah kapal kargo pukal melanggar sebuah feri di Sungai Shitalakshya, tenggara Dhaka, Bangladesh. - Foto hiasan
Seorang maut dan berpuluh-puluh lagi dipercayai hilang selepas sebuah kapal kargo pukal melanggar sebuah feri di Sungai Shitalakshya, tenggara Dhaka, Bangladesh. - Foto hiasan

Lima maut berpuluh hilang kapal kargo langgar feri

DHAKA: Lima maut manakala berpuluh-puluh lagi dipercayai hilang selepas sebuah kapal kargo pukal melanggar sebuah feri di sungai berhampiran ibu negara Bangladesh.

Polis berkata, puluhan orang berjaya berenang ke darat selepas kapal kargo MV Ruposhi-9 melanggar feri MV Afsaruddin di Sungai Shitalakshya, tenggara Dhaka.

Rakaman kejadian karam yang disiarkan oleh media tempatan menunjukkan orang ramai menjerit cemas apabila kapal kargo itu berlanggar dengan feri dan melompat ke dalam sungai ketika kapal itu mulai karam.

"Kita menemukan lima mayat termasuk tiga wanita, seorang lelaki dan kanak-kanak," kata Ketua Polis Deerah, Shah Jaman kepada AFP.

Beliau berkata, feri itu dipercayai membawa lebih 60 orang ketika kejadian dan 22 penumpang lagi berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke darat.

Pentadbir daerah, Monjurul Hafiz, berkata anggota pengawal pantai dan penyelam sedang membantu usaha menyelamat.

Kemalangan feri adalah perkara biasa di Bangladesh, dengan pakar menyalahkan penyelenggaraan yang lemah, kelemahan standard keselamatan dan kesesakan.

Sebuah feri karam di Dhaka Jun lalu selepas berlanggar dengan kapal lain, mengorbankan sekurang-kurangnya 32 orang. - AFP

Berita Harian X