Ahad, 20 March 2022 | 10:48am
Kemudahan milik syarikat minyak Aramco di Jizan antara empat sasaran terjejas dalam serangan terkini didalangi Houthi di Arab Saudi. - AFP
Kemudahan milik syarikat minyak Aramco di Jizan antara empat sasaran terjejas dalam serangan terkini didalangi Houthi di Arab Saudi. - AFP

Kemudahan minyak Aramco antara sasaran serangan terkini Houthi

RIYADH: Beberapa serangan dilancarkan pemberontak Houthi ke atas selatan Arab Saudi semalam, termasuk satu kemudahan yang dikendalikan syarikat minyak Aramco di Jizan, kata tentera bersekutu diketuai Arab Saudi yang memerangi pemberontak di Yaman.

Agensi Akhbar Saudi (SPA) yang memetik kenyataan pihak terbabit berkata, empat dron dilancarkan ke wilayah itu, yang kerap menjadi sasaran serangan dron Houthi dan peluru berpandu.

Bagaimanapun katanya, tiada sebarang kematian dilaporkan.

Selain kemudahan Aramco, pemberontak turut menyerang loji penyahgaraman di Al-Shaqeeq.

Dalam kenyataan susulan, tentera bersekutu mengumumkan stesen jana kuasa Dhahran Al-Janoub berhampiran Jizan turut diserang dengan SPA menyiarkan foto serta klip video menunjukkan anggota bomba menangani kebakaran di tapak berkenaan.

Sasaran keempat pula membabitkan stesen minyak di Khamis Mushait.

Pakatan itu berkata, dron berjaya dipintas dan dimusnahkan berhampiran Yaman selepas serangan, dengan peluru berpandu balistik yang dilepaskan ke arah bandar Jazan turut dihentikan.

Serangan terbaharu itu berlaku selepas kilang penapisan minyak di ibu negara Arab Saudi, Riyadh disasarkan pada 10 Mac menggunakan dron, satu operasi didakwa dilakukan pemberontak Houthi.

Pada awal minggu ini, Houthi menolak jemputan daripada enam negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) untuk menghadiri rundingan mengenai konflik Yaman, yang akan diadakan di Riyadh mulai 29 Mac depan.

Untuk rekod, Arab Saudi mengetuai pakatan tentera di Yaman untuk menyokong kerajaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, yang terbabit dalam konflik berdarah menentang Houthi sejak pertengahan 2014.

Peperangan itu mengorbankan ratusan ribu nyawa dan menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal dalam apa yang disebut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai krisis kemanusiaan terburuk di dunia.

Pada Rabu, PBB menyuarakan kekecewaan selepas persidangan penderma sekadar mengumpulkan AS$1.3 bilion (RM5.45 bilion), jauh daripada sasaran AS$4.27 bilion (RM17.9 bilion) .

Pemberontak Huthi sering menyasarkan lapangan terbang dan kemudahan minyak di Arab Saudi, antara pengeksport minyak terbesar dunia, dengan latar belakang kepemimpinan kerajaan gabungan tentera menentang mereka.

Pasaran minyak global kucar-kacir susulan kesan pencerobohan Russia ke atas Ukraine dan kesannya terhadap bekalan tenaga. - AFP

Berita Harian X