Jumaat, 11 March 2022 | 2:13pm
Sebahagian warga emas yang mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 di Hong Kong, hari ini. - FOTO EPA
Sebahagian warga emas yang mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 di Hong Kong, hari ini. - FOTO EPA

Hong Kong fokus vaksinasi warga emas, kanak-kanak

HONG KONG: Hong Kong akan memfokus pelaksanaan program vaksinasi COVID-19 terhadap golongan warga emas dan kanak-kanak berikutan lonjakan penularan ketika ini.

Perkara itu diumumkan pemimpin Hong Kong, Carrie Lam, hari ini, ketika pihak berkuasa terus bertungkus lumus menangani peningkatan kes jangkitan dan kematian, terutama di rumah jagaan, yang menyaksikan hospital kini sesak dengan pesakit wabak berkenaan.

Hong Kong telah melaporkan lebih 600,000 jangkitan dan lebih 3,100 kematian - kebanyakannya dalam tempoh dua minggu lalu.

Menurut Our World in Data, Hong Kong mencatat angka kematian tertinggi di dunia sepanjang tempoh minggu terbabit hingga 9 Mac lalu, dengan kebanyakan mangsa membabitkan warga emas belum divaksin.

Ramai penduduk di Hong Kong masih belum divaksin, setakat tahun lalu, susulan angka jangkitan yang rendah ketika itu dan kebimbangan akan kesan sampingan imunisasi berkenaan, terutama dalam kalangan warga emas.

"Lebih 90 peratus kematian membabitkan mereka yang tidak lengkap vaksinasi. Kita perlu bertindak segera dan memberi vaksin kepada setiap warga Hong Kong," kata Lam.

Usaha itu menyaksikan lebih 90 peratus populasi bandar ini sudah menerima sekurang-kurang satu dos vaksin itu.

Namun menurut data kerajaan, hanya kira-kira 53 peratus daripada golongan warga emas berusia 80 tahun ke atas telah divaksin.

Lam berkata, kerajaannya akan menumpukan pendekatan menyasarkan golongan warga emas dengan lebih banyak sumber perubatan dalam usaha memerangi virus terbabit, selepas seorang pegawai kanan China menekankan bahawa Hong Kong perlu mengutamakan langkah mengurangkan kematian. - REUTERS

Berita Harian X