Khamis, 10 March 2022 | 5:49pm
Pemeriksaan imunisasi kini tidak lagi diperlukan untuk memasuki Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah. - Foto AFP
Pemeriksaan imunisasi kini tidak lagi diperlukan untuk memasuki Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah. - Foto AFP

Pemeriksaan imunisasi tak perlu masuk Masjidil Haram, Masjid Nabawi

JEDDAH: Pemeriksaan imunisasi untuk memasuki Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah sudah ditiadakan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi hari ini.

Saudi Gazette melaporkan, kementerian itu sudah menyemak perkembangan penting berkaitan pandemik COVID-19 sebelum menarik balik langkah berjaga-jaga terhadap penularan coronavirus di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Kementerian juga membatalkan keperluan untuk mendaftar data imunisasi untuk mendapatkan permit umrah bagi jemaah umrah dari luar Arab Saudi.

Menurut Saudi Gazette lagi, permit tidak lagi diperlukan untuk melaksanakan ibadat di Masjidil Haram atau menziarahi Masjid Nabawi.

Namun, ia masih lagi diwajibkan untuk membuat Umrah dan menziarahi AlRawdah AlSharifa dalam Masjid Nabawi di Madinah.

Semua langkah penjarakan sosial dalam Masjidil Haram dan Masjid Nabawi ditamatkan, namun pemakaian pelitup muka masih diwajibkan.

Kementerian itu juga menyatakan keperluan untuk menyerahkan ujian PCR semasa ketibaan bagi jemaah umrah asing dan keperluan untuk kuarantin di institusi dan di rumah juga dimansuhkan, lapor Saudi Gazette. - AGENSI

Berita Harian X