Ahad, 6 March 2022 | 6:55am
Penduduk di Seoul, Korea Selatan menyaksikan laporan berita televisyen mengenai penembakan peluru berpandu balistik Korea Utara di luar pantai timur negara itu. - Foto REUTERS
Penduduk di Seoul, Korea Selatan menyaksikan laporan berita televisyen mengenai penembakan peluru berpandu balistik Korea Utara di luar pantai timur negara itu. - Foto REUTERS

Korea Utara dakwa lancar ujian pembangunan satelit peninjau

SEOUL: Korea Utara melaksanakan satu lagi ujian membabitkan pembangunan satelit peninjau semalam, hanya beberapa hari sebelum pilihan raya presiden di Korea Selatan.

Perkara itu dimaklumkan menerusi laporan dua perenggan agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA.

"Pentadbiran Pembangunan Aeroangkasa Nasional (NADA) DPRK dan Akademi Sains Pertahanan menjalankan satu lagi ujian penting pada Sabtu, di bawah rancangan pembangunan satelit peninjau.

"Menerusi ujian ini, NADA mengesahkan keutuhan pemindahan data dan sistem penerimaan satelit itu, sistem kawalan utama dan pelbagai sistem kawalan di darat," lapor KCNA, hari ini.

Sebelum ini, pihak tentera Korea Selatan dilaporkan berkata, ujian terakhir itu dipercayai adalah pelancaran satu lagi peluru berpandu balistik oleh Korea Utara, sebahagian beberapa siri ujian senjata itu tahun ini.

Pyongyang menjalankan pelbagai ujian senjata pada Januari lalu, meliputi peluru berpandu hipersonik hingga peluru berpandu balistik jarak pertengahan.

Minggu lalu, Korea Utara melancarkan apa yang didakwa sebagai komponen 'satelit peninjau' namun Korea Selatan mendakwa ia adalah ujian peluru berpandu balistik.

Meskipun berdepan sekatan antarabangsa berikutan senjata nuklear miliknya, Pyongyang mengenepikan tawaran rundingan daripada Amerika Syarikat (AS), sejak rundingan berprofil tinggi antara Kim Jong Un dan bekas Presiden AS, Donald Trump pada 2019 gagal membuahkan hasil.

Pyongyang turut menggandakan usaha untuk memodenkan ketenteraannya berbanding diplomasi, serta memberi amaran Januari lalu bahawa pihaknya mungkin menamatkan moratorium pelaksanaan ujian peluru berpandu jarak jauh dan senjata nuklear. - AFP

Berita Harian X