Sabtu, 5 March 2022 | 4:37pm
Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman. - Foto REUTERS
Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman. - Foto REUTERS

Putera Mahkota Arab Saudi bayangkan Israel mungkin jadi sekutu

RIYADH: Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman, memberi bayangan Israel mungkin menjadi 'sekutu' negara itu selain mahu berperanan menyelesaikan konflik Israel-Iran.

"Arab Saudi berharap konflik antara Israel dan Palestin dapat diselesaikan segera.

"Negara ini tidak melihat Israel sebagai musuh, sebaliknya sebagai potensi sekutu dengan pelbagai kepentingan yang boleh diusahakan bersama.

"Namun, beberapa perkara perlu diselesaikan sebelum kita tiba ke arah itu," katanya ketika dalam temubual dengan majalah The Atlantic, yang diedarkan Agensi Berita Saudi (SPA).

Arab Saudi tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, namun beberapa negara Teluk seperti Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sudah menjalin hubungan diplomatik dengan Tel Aviv.

Hubungan diplomatik itu mencetuskan kemarahan banyak negara Islam, terutama Palestin yang menyifatkannya seperti 'ditikam dari belakang'.

Dalam pada itu, hubungan tegang Israel dengan Iran dilihat semakin reda menerusi beberapa rundingan yang diuruskan oleh Iraq.

"Israel serta Iran adalah jiran dan adalah lebih baik sekiranya mereka mencari penyelesaian untuk hidup bersama.

"Menerusi hubungan yang baik, kita boleh mencipta masa depan lebih cerah," kata Mohammed bin Salman.

Arab Saudi sebelum ini berulang kali menegaskan negara itu akan berpegang kepada pendirian Liga Arab untuk tidak menjalin hubungan rasmi dengan Israel sehingga konflik dengan Palestin diselesaikan.

Namun, Mohammed, 36, dilihat bersikap lebih terbuka berbanding bapanya, Raja Salman Abdulaziz al-Saud, terutama selepas membenarkan pesawat komersial Israel menggunakan ruang udara Arab Saudi. - AFP

Berita Harian X