Ahad, 27 Februari 2022 | 10:44am
Penduduk mencari dan menyelamat mangsa serangan udara Arab Saudi ke penempatan Houthi di Dhamar, Yamen. - Foto REUTERS
Penduduk mencari dan menyelamat mangsa serangan udara Arab Saudi ke penempatan Houthi di Dhamar, Yamen. - Foto REUTERS

PBB bincang sekatan senjata ke atas Houthi

GENEVA: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijangka mengundi esok, mengenai cadangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk mengenakan sekatan senjata ke atas Houthi Yaman, selepas kumpulan itu mendakwa melakukan serangan dron dan peluru berpandu ke atas negara itu, tahun ini.

Langkah itu akan memperluas sekatan senjata PBB yang disasarkan ke atas beberapa pemimpin Houthi, kepada seluruh kumpulan berkenaan.

Langkah itu memerlukan sembilan undi menyokong dan tidak diperlukan veto oleh Russia, Amerika Syarikat (AS), Britain, Perancis atau China.

Gabungan diketuai Arab Saudi, termasuk UAE, campur tangan di Yaman pada 2015 selepas Houthi yang bersekutu dengan Iran, menggulingkan kerajaan di Sanaa yang diiktiraf antarabangsa.

Houthi mendakwa mereka memerangi sistem rasuah dan pencerobohan asing.

Gabungan itu, AS dan pemantau sekatan PBB menuduh Iran membekalkan senjata kepada Houthi, yang dinafikan oleh Tehran, dan kumpulan itu sendiri.

Konflik itu sudah membunuh puluhan ribu orang dan menyebabkan krisis kemanusiaan, mendorong Yaman ke ambang kebuluran.

Seorang diplomat kanan Majlis Keselamatan PBB, yang enggan namanya didedahkan berkata, cadangan sekatan senjata ke atas kumpulan Houthi tidak termasuk pembekuan aset, bagi mengelak sekatan ke atas bantuan kemanusiaan atau perkapalan komersial, yang menjadi kebimbangan dalam kalangan beberapa ahli majlis.

Setahun yang lalu, pentadbiran Presiden Joe Biden membatalkan Houthi sebagai organisasi pengganas kerana bimbang akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan Yaman.

Pentadbiran bekas Presiden Donald Trump sebelum itu, menyenaraihitamkan Houthi, sehari sebelum Biden memegang jawatan pada Januari 2021.

UAE, Arab Saudi dan beberapa penggubal undang-undang AS mendesak Rumah Putih untuk kembali meletakkan Houthi dalam senarai kumpulan pengganas asing AS, susulan serangan Houthi ke atas UAE dan Arab Saudi, baru-baru ini. - REUTERS.

Pengikut Houthi menunjuk perasaan membantah serangan udara Arab Saudi di Sanaa, Yaman, sebelum ini. - Foto REUTERS
Pengikut Houthi menunjuk perasaan membantah serangan udara Arab Saudi di Sanaa, Yaman, sebelum ini. - Foto REUTERS

Berita Harian X