Sabtu, 26 Februari 2022 | 12:26pm
Presiden China, Xi Jinping (kanan) bersama pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un. - Foto REUTERS
Presiden China, Xi Jinping (kanan) bersama pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un. - Foto REUTERS

China ikrar kerjasama dengan Korea Utara bawah 'suasana baharu' - KCNA

SEOUL: Presiden China, Xi Jinping menekankan kepentingan kerjasama antara Beijing dan Pyongyang dalam 'suasana baharu' yang tidak ditentukan, lapor media negara Korea Utara hari ini.

Korea Utara, secara rasmi dikenali sebagai DPRK, melakukan tujuh ujian senjata yang tidak pernah berlaku sebelum ini pada Januari (termasuk peluru berpandu paling berkuasa sejak 2017) dengan rundingan bersama Amerika Syarikat (AS) yang terhenti.

Mereka juga menghentikan ujian senjata ketika berlangsung Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing, dengan penganalisis berkata keputusan itu mungkin dibuat bagi menghormati China.

Beijing adalah sekutu terpenting bagi ekonomi Pyongyang, hubungan mereka terjalin dalam pertumpahan darah pada Perang Korea 1950-an.

Dalam mesejnya kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, Jinping berkata Beijing bersedia untuk mengembangkan hubungan persahabatan dan kerjasama China-DPRK di bawah 'suasana baharu", lapor Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) rasmi.

KCNA tidak menghuraikan lebih lanjut mengenai suasana baharu itu.

Korea Utara mengalami masalah ekonomi akibat sekatan COVID-19 yang berpunca daripada tindakan sendiri, dan memulakan semula perdagangan rentas sempadan dengan Beijing bulan lalu.

China menyumbang lebih 90 peratus daripada perdagangan dua hala negara terpencil itu.

Pyongyang berada di bawah beberapa sekatan antarabangsa berhubung program nuklear dan peluru berpandu balistiknya.

Bagaimanpun, negara itu memberi amaran ia boleh meninggalkan moratorium yang dikenakan sendiri dan meneruskan ujian peluru berpandu balistik antara benua atau senjata nuklear.

Beberapa pakar memberi amaran bahawa dengan dunia kini tertumpu pada pencerobohan Russia ke atas Ukraine, Korea Utara mungkin mengambil peluang ini untuk menguji peluru berpandu jarak jauhnya. - AFP.

Berita Harian X