Ahad, 20 Februari 2022 | 10:28am
Ilustrasi menunjukkan seorang wanita memegang botol kecil berlabel pelekat ‘Vaksin Coronavirus COVID-19’ dan picagari perubatan di hadapan bendera China. - Foto REUTERS
Ilustrasi menunjukkan seorang wanita memegang botol kecil berlabel pelekat ‘Vaksin Coronavirus COVID-19’ dan picagari perubatan di hadapan bendera China. - Foto REUTERS

China benarkan penggunaan teknologi berbeza bagi dos penggalak

BEIJING: China memberikan vaksin dos penggalak COVID-19 menggunakan teknologi yang berbeza daripada suntikan terdahulu, dalam usaha menambahbaik strategi imunisasi di tengah-tengah kebimbangan susulan vaksin yang paling banyak digunakan negara itu ketika ini dikatakan lemah bagi melawan varian seperti Omicron.

Meningkatkan imuniti penduduk amat penting sebagai persediaan untuk China membuka semula sempadannya dan beralih daripada strategi 'dinamik sifar' yang membabitkan sekatan perjalanan serta ujian saringan besar-besaran berikutan susulan pertambahan jangkitan tempatan.

Kumpulan pakar sedang meneliti sama ada gabungan dos ini membawa kepada keberkesanan yang lebih tinggi.

Penduduk dewasa yang telah menerima suntikan vaksin dibangunkan Sinopharm atau Sinovac sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan kini boleh mendapatkan dos penggalak dengan vaksin yang menggunakan teknologi berbeza.

Ia dikeluarkan oleh CanSino Biologics (CanSinoBIO), kata pegawai Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, Wu Liangyou, semalam.

Setakat 7 Februari lalu, kira-kira satu pertiga daripada 1.4 bilion penduduk China telah menerima dos penggalak menggunakan teknologi yang sama dengan dos primer.

Liangyou dalam taklimat media berkata, data menunjukkan dos penggalak sama ada menggunakan teknologi yang sama atau berbeza dengan vaksinasi primer tetap mampu menambahbaik imuniti.

Satu sampel kecil penyelidikan di Hong Kong menunjukkan bahawa kebanyakan penerima vaksin Sinovac yang mendapat dos ketiga sekitar dua hingga lima bulan selepas dos kedua primer, gagal menghasilkan tindak balas antibodi semulajadi melawan Omicron.

Dalam percubaan klinikal, tindak balas antibodi bagi penerima dos penggalak Sinovac juga turut lemah membabitkan varian Delta berbanding dos penggalak CanSinoBIO.

Dalam satu kajian membabitkan varian Omicron di China, suntikan vaksin Sinopharm BBIBP-CorV menunjukkan tindak balas imun yang rendah berbanding dos penggalak keluaran Zhifei dalam kalangan mereka yang menerima dua suntikan BBIBP-CorV.

Salah seorang pakar yang terbabit dalam pembangunan vaksin COVID-19 di China, Shao Yiming, berkata kontak rapat individu yang dijangkiti COVID-19 ketika gelombang awal Omicron di bandar Tianjin dan Anyang yang mengambil dos penggalak mempunyai keupayaan tiga kali ganda untuk melawan varian itu berbanding yang hanya menerima dos primer. - REUTERS

Berita Harian X