Rabu, 16 Februari 2022 | 1:47pm
Foto hiasan/Freepik
Foto hiasan/Freepik

3,000 kanak-kanak Turki hidap leukemia setiap tahun

KAYSERI (TURKI): Lebih 3,000 kanak-kanak di Turki disahkan menghidap kanser, setiap tahun.

Leukemia atau kanser darah didapati menjejaskan kanak-kanak seawal usia setahun, malah turut dikesan pada bayi baru lahir, lapor Agensi Anadolu.

Menurut pakar, penyakit itu banyak dikesan dalam kalangan individu berumur 20 tahun ke bawah dan warga emas berusia lebih 60 tahun.

Menurut kenyataan Yayasan untuk Kanak-kanak Leukemia (LOSEV) sempena Hari Kanser Kanak-Kanak Antarabangsa, kanser kerap berlaku pada usia lima tahun.

"Leukemia adalah sejenis kanser paling banyak dikesan dalam kalangan kanak-kanak. Leukemia turut ditemukan dalam kalangan bayi bawah umur setahun dan baru lahir," menurut kenyataan itu.

Kejayaan rawatan kanser adalah dipengaruhi pengesanan awal simptom, manakala kesedaran ibu bapa turut memainkan peranan penting untuk menyelamatkan nyawa pesakit terbabit. – BERNAMA

Berita Harian X