Jumaat, 11 Februari 2022 | 4:07pm
Kain rentang bertulis ‘Tamatkan mandat dan kami pulang’ dilihat dipasang di luar Parlimen di Wellington. - Foto AFP
Kain rentang bertulis ‘Tamatkan mandat dan kami pulang’ dilihat dipasang di luar Parlimen di Wellington. - Foto AFP

Penunjuk perasaan antivaksin di luar Parlimen New Zealand semakin ramai

WELLINGTON: Jumlah penunjuk perasaan di luar parlimen New Zealand meningkat hari ini apabila polis mengurangkan usaha untuk menyuraikan penunjuk perasaan antivaksin yang terbabit dalam pertempuran ganas sehari sebelumnya.

Suasana umpama hari perayaan di khemah sementara yang didirikan penunjuk perasaan digelar 'kem kebebasan' dengan dendangan muzik dan tarian ketika polis sedang berkawal di belakang penghadang.

Ia ternyata berbeza dengan situasi tegang kelmarin, apabila sekumpulan anggota cuba mengusir penunjuk perasaan dan menahan seramai 122 orang, selain polis terpaksa menggunakan semburan lada untuk meredakan pergelutan.

Polis Wellington menyifatkan taktik 'lepas tangan' itu sebagai 'pendekatan berhati-hati' apabila kelihatan ada penunjuk perasaan membawa kanak-kanak.

"Polis terus memantau dan membendung aktiviti protes di kawasan Parlimen," kata Superitendan Corrie Parnell dalam satu kenyataan.

"Polis telah mengenalpasti pelbagai punca dan motif yang berbeza dalam kalangan penunjuk perasaan, menjadikannya sukar untuk membuka ruang komunikasi yang jelas dan bermakna," tambahnya.

Aktivis berkhemah di laman Parlimen selama empat hari protes berkenaan yang bermula Selasa lalu.

Ia dikatakan meniru apa yang dilakukan dalam 'Konvoi Kebebasan' oleh pemandu lori di Ottawa, Kanada.

Presint Parlimen diisytiharkan ditutup kepada orang awam tetapi langkah itu tidak dikuatkuasakan dengan ketat kerana bilangan penunjuk perasaan ke kawasan itu semakin ramai, daripada kira-kira 250 orang sehingga sekitar 1,500 orang hari ini.

Seorang penunjuk perasaan yang mahu dikenali sebagai Carrie, berkata aktivis kekal komited dengan matlamat untuk menamatkan mandat vaksin.

"Cara polis mengendalikan kami agak mengejutkan.

"Apa yang mereka mereka lakukan semalam di luar jangkaan kami. Kejam, sememangnya kejam," dakwanya.

Kerajaan New Zealand mewajibkan vaksinasi COVID-19 untuk individu yang bekerja dalam sektor seperti kesihatan, penguatkuasaan undang-undang, pendidikan dan pertahanan.

Bagi mereka yang menolak pelalian itu akan dibuang kerja.

Bukti vaksinasi mesti ditunjukkan sebelum memasuki restoran, acara sukan dan aktiviti keagamaan. - AFP

Berita Harian X