Khamis, 10 Februari 2022 | 8:24am
Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dan Presiden AS, Joe Biden. - Foto Google
Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dan Presiden AS, Joe Biden. - Foto Google

Raja Salman, Biden bincang kestabilan bekalan tenaga global

RIYADH: Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud menerima panggilan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden bagi membincangkan mengenai kestabilan bekalan tenaga global serta keperluan mengukuhkan kerjasama dan mencapai kestabilan di Asia Barat.

Raja Salman juga bertitah Arab Saudi menyokong usaha AS menghalang Iran daripada mendapatkan senjata nuklear, lapor agensi berita SPA.

Agenda lain yang dibincangkan kedua pemimpin dalam perbualan menerusi telefon ialah kepentingan mengekalkan keseimbangan dan kestabilan pasaran minyak, serta peranan perjanjian OPEC+.

"Mereka juga berbincang mengenai usaha mengekalkan kestabilan di rantau Asia Barat termasuk isu berkaitan kumpulan militan Houthi Yaman yang mensasarkan orang awam di negara itu.

"Raja Salman juga memberitahu Biden mengenai keperluan penyelesaian politik di Yemen. Arab Saudi juga memuji komitmen AS menyokong kerajaan dalam mempertahankan tanah dan rakyatnya," katanya.

Pada 17 Januari lalu, serangan dron dan peluru berpandu militan disokong Iran mengenai depoh bahan api Abu Dhabi National Oil Co, mengorbankan tiga orang dan mencederakan enam yang lain.

Militan terbabit sering menyasarkan wilayah selatan Arab Saudi dengan serangan dron dan peluru berpandu dimusnahkan tentera udara Arab Saudi, kebiasaannya tidak menyebabkan banyak kerosakan.

Kedua-dua pemimpin itu juga turut membincangkan keperluan mengukuhkan kerjasama keselamatan bersama dalam usaha menghadapi keganasan. - AGENSI

Berita Harian X