Isnin, 31 Januari 2022 | 7:28am
Gabungan gambar diedarkan Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) menunjukkan ujian pelancaran peluru berpandu Hwasong-12. Foto AFP
Gabungan gambar diedarkan Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) menunjukkan ujian pelancaran peluru berpandu Hwasong-12. Foto AFP

Korea Utara mengaku uji peluru berpandu Hwasong-12

SEOUL: Korea Utara mengaku pihaknya melancarkan peluru berpandu jarak sederhana, Hwasong-12, senjata paling berkuasa sejak 2017, lapor media tempatan hari ini.

Tentera Korea Selatan mendakwa pihaknya mengesan pelancaran membabitkan peluru berpandu jarak sederhana itu semalam, iaitu ujian senjata ketujuh dilakukan Pyongyang pada bulan Januari.

Sebelum ini, Korea Utara tidak pernah menguji peluru berpandu sebanyak ini dalam sebulan, malah minggu lalu negara itu mengugut untuk mengabaikan moratorium kendiri hampir lima tahun membabitkan ujian senjata jarak jauh dan nuklear.

Pyongyang mendakwa tindakannya didorong dasar 'bermusuhan' Amerika Syarikat (AS) yang memaksa pihaknya berbuat demikian.

"Penilaian ujian pelancaran peluru berpandu balistik jarak sederhana darat ke darat dan jarak jauh dijalankan semalam," lapor rasmi Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

Menurut KCNA, ujian itu dilakukan bagi mengesahkan ketepatan, keselamatan dan keberkesanan operasi senjata jenis Hwasong-12 yang sedang dalam pengeluaran.

KCNA melaporkan, ujian berkenaan dilakukan menggunakan sistem pelancaran sudut tinggi bagi memastikan keselamatan negara jiran dan kepala peledak itu turut membawa kamera untuk mengambil gambar ketika berada di ruang angkasa.

Berikutan rundingan damai dengan Washington terhenti, Korea Utara mengotakan ikrar pemimpinnya, Kim Jong-un, untuk memodenkan rejim angkatan bersenjata dan memastikan tentera Pyongyang bersiapsiaga walaupun dibelenggu sekatan antarabangsa.

Semalam Korea Selatan mendakwa Korea Utara melakukan 'ancaman' sama seperti pada 2017 apabila ketegangan terakhir tercetus di semenanjung.

Ia juga memberi amaran bahawa Pyongyang tidak lama lagi akan memulakan semula ujian nuklear dan peluru berpandu antara benua.

Kali terakhir Pyongyang menguji peluru berpandu jarak sederhana jenis Hwasong-12 ialah pada 2017, yang disifatkan penganalisis pada masa itu sebagai senjata cukup berkuasa untuk sampai ke wilayah AS di Guam.

Rentetan pelancaran peluru berpandu pada tahun ini, ia boleh dianggap dilakukan pada masa sukar di rantau ini kerana kemungkinan tindakan itu bakal terpalit pada negara sekutu utama Korea Utara.

Antaranya China, yang bakal menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk pada minggu depan manakala jiran Pyongyang pula iaitu Korea Selatan, sedang bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya presiden pada Mac ini. - AFP

Berita Harian X