Ahad, 30 Januari 2022 | 7:57pm
Tentera Amerika Syarikat (AS) bersama Pasukan Demokratik Syria (SDF) berkumpul di Ghwayran di bandar Hasakeh, Syrian sebelum operasi merampas kembali penjara Ghwayran daripada kawalan Daesh. - Foto AFP
Tentera Amerika Syarikat (AS) bersama Pasukan Demokratik Syria (SDF) berkumpul di Ghwayran di bandar Hasakeh, Syrian sebelum operasi merampas kembali penjara Ghwayran daripada kawalan Daesh. - Foto AFP

Lebih 330 terbunuh selepas Daesh serang penjara Syria

HASAKEH: Lebih 330 orang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran sengit sejak militan Daesh menyerang sebuah penjara di Syria, menurut badan pemantau perang.

Daesh melancarkan serangan terbesar mereka 20 Januari lalu terhadap Penjara Ghwayran di Hasakeh, wilayah dikuasai puak Kurd, bagi membebaskan rakan seperjuangan mereka dan difahamkan puluhan militan masih berada di sana.

Kadar kematian akibat pertempuran sengit itu meningkat kepada 332 mangsa, dengan Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang disokong Amerika Syarikat (AS) menemui 50 lagi mayat malam tadi di kompleks penjara dan kawasan berdekatan.

Pasukan Pemantau Perang Syria, yang berpangkalan di London dan bergantung kepada maklumat sumber dalaman di Syria, berkata 246 anggota Daesh, 79 pejuang Kurd dan tujuh orang awam antara yang dilaporkan terbunuh setakat ini.

Ketua pasukan pemantau itu, Rami Abdel Rahman, berkata kebanyakan mayat ditemui di luar penjara.

Katanya, jumlah kematian dijangka meningkat kerana puluhan cedera teruk dan masih ada yang hilang selain terdapat maklumat mengenai lebih ramai mangsa di kedua-dua pihak.

SDF Rabu lalu mengumumkan sudah menawan kembali penjara berkenaan tetapi beberapa pertempuran masih berlaku sehingga semalam antara Daesh dan pejuang Kurd berdekatan kompleks penjara.

Semalam, wartawan AFP melihat sebuah trak mengangkut timbunan mayat dari sebuah kawasan berdekatan penjara, dipercayai militan Daesh, dengan sebuah jengkaut meletakkan lebih banyak mayat dalam trak.

Ketua pejabat media SDF, Farhad Shami, memberitahu AFP bahawa mayat berkenaan akan ditanam di kawasan terpencil yang dikhususkan, di bawah kawalan SDF.

Menurut SDF, sekitar 3,500 banduan dan penyerang Daesh sudah menyerah diri kepadanya sejak operasi menawan semula penjara dimulakan.

bagaimanapun, pejuang Kurd menganggarkan antara 60 hingga 90 militan Daesh masih berada di aras bawah dan ruang bawah tanah penjara berkenaan.

Pasukan Kurd berulang kali menggesa militan Daesh menyerah diri manakala pasukan pemantau perang berkata kira-kira 20 militan Daesh menyerah diri semalam.

Berita Harian X