Ahad, 23 Januari 2022 | 6:30am
 Sebuah bas meletup di Herat, Afghanistan mengorbankan tujuh penumpang dan mencederakan sembilan yang lain. - Foto REUTERS
Sebuah bas meletup di Herat, Afghanistan mengorbankan tujuh penumpang dan mencederakan sembilan yang lain. - Foto REUTERS

Tujuh maut, sembilan cedera bas meletup di Afghanistan

KABUL: Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam insiden bas meletup di kawasan didiami masyarakat minoriti Syiah di bandar Herat di barat Afghanistan pada Sabtu.

Bom yang dilekatkan pada tangki minyak bas turut mencederakan sembilan yang lain.

"Empat wanita antara tujuh yang terbunuh," kata ketua hospital wilayah Herat, Arif Jalali kepada AFP.

Letupan itu disahkan oleh pejabat perisikan Herat.

"Laporan awal menunjukkan ia adalah bom yang dilekatkan pada tangki minyak kenderaan penumpang," kata jurucakap pejabat perisikan Herat, Sabit Harwi.

Polis Herat dan jabatan kebudayaan turut mengesahkan letupan bom itu. Tiada mana-mana kumpulan setakat ini tampil mengaku terbabit dalam serangan itu.

Tahap keselamatan di Afghanistan bertambah baik sejak pemberontakan selama dua dekad oleh Taliban yang berakhir dengan penawanan ke atas Kabul pada Ogos lalu.

Bagaimanapun, beberapa serangan dilaporkan setiap minggu di seluruh negara, termasuk didakwa dilakukan kumpulan DAESH.

DAESH kerap menyasarkan masyarakat Syiah Hazara di negara itu dengan serangan maut dan kawasan yang mana letupan berlaku berhampiran stesen bas pada Sabtu juga didiami oleh masyarakat itu.

Herat ialah bandar ketiga terbesar Afghanistan, terletak berhampiran sempadan Iran, tetapi kekal aman dalam beberapa bulan kebelakangan ini. - AFP

Berita Harian X