Rabu, 19 Januari 2022 | 8:40pm
Pejuang Taliban di atas kenderaan bersorak dalam perarakan di Maymana, ibu negeriFaryab. - Foto AFP
Pejuang Taliban di atas kenderaan bersorak dalam perarakan di Maymana, ibu negeriFaryab. - Foto AFP

Pejuang tersilap tembak wanita akan dihukum

KABUL: Seorang pejuang Taliban ditangkap kerana menembak mati seorang wanita Hazara, di sekatan jalan raya di ibu negara Afghanistan selepas pulang dari majlis perkahwinan, kata jurucakap kumpulan itu, hari ini.

Pembunuhan Zainab Abdullahi, 25, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan wanita, yang ketika ini sudah menghadapi beberapa sekatan, sejak Taliban kembali berkuasa Ogos lalu.

Tembakan berlaku di kawasan kejiranan Kabul yang kebanyakannya didiami oleh ahli minoriti komuniti Syiah Hazara, yang sering dianiaya kumpulan tegar Sunni sejak berabad lama, malah kumpulan jihad DAESH kerap menyasarkan masyarakat itu dalam serangan berani mati mereka.

Zainab tersilap ditembak, kata jurucakap Taliban Mohammad Naeem di Twitter, sambil menambah pejuang yang ditangkap itu akan dihukum.

Keluarga Zainab ditawarkan pampasan 600,000 Afghani (RM23,900) bagi kes tembakan pada 13 Januari lalu yang berlaku di kawasan kejiranan Dasht-e-Barchi di ibu negara itu, kata Kementerian Dalam Negeri dalam kenyataan yang berasingan.

Beberapa aktivis hak wanita mengadakan bantahan kecil di Kabul menuntut keadilan, bagi kes pembunuhan Zainab itu.

Taliban kini dengan tegas mahu melaksanakan undang-undang Islam radikal di negara itu, yang wanita disekat menjalani kehidupan bebas di tempat awam.

Kebanyakan sekolah menengah untuk perempuan ditutup, manakala wanita dilarang bekerja, kecuali dalam sektor awam yang penting.

Wanita juga tidak dibenarkan bergerak dan berulang-alik bagi perjalanan jarak jauh, melainkan ditemani saudara lelaki terdekat.

Awal bulan ini, petugas agama Taliban memasang poster di sekitar ibu kota mengarahkan wanita untuk bertudung. - AFP

Rakyat Afghanistan menerima bantuan makanan yang diedarkan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di Kabul, semalam. - Foto EPA
Rakyat Afghanistan menerima bantuan makanan yang diedarkan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di Kabul, semalam. - Foto EPA

Berita Harian X